Tiga syarikat didenda RM1,800 buang sampah secara haram
KUALA LANGAT – Padah membuang sampah secara haram, tiga syarikat pengangkutan masing-masing didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, pada Selasa.
Ia selepas tiga syarikat itu yang diwakili wakil masing-masing, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Khairul Farhi Yusob.
Mahkamah turut memerintahkan pemilik syarikat terbabit dipenjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan didakwa membuang sampah di Jalan Garuda, Teluk Mengkuang, Telok Panglima Garang dan Rancangan Tanah Belia (RTB), Bukit Changgang tahun lalu.
Ia merupakan satu kesalahan di bawah Kesalahan, Undang-undang Kecil (UUK) 4 Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKL) 2007.
Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) juga telah menyita tiga lori berikutan kesalahan yang telah dilakukan.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abd Rahim bersama Pegawai Pendakwanya, Ahmad Razali Abdul Manaf.
Sementara itu, Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, MPKL akan bertindak tegas terhadap mana-mana syarikat atau individu yang melakukan pembuangan sampah haram di daerah ini.
Pembuangan sampah yang tidak terkawal katanya, akan mengakibatkan pencemaran dan menjejaskan kesihatan orang awam.
“Penduduk di Kuala Langat perlu menjaga kebersihan persekitaran di sini, bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan semua pihak.
“Sekiranya anda melihat aktiviti pembuangan sampah haram, sila laporkan kepada MPKL di talian 03-31872825 atau 03-31872732,” katanya dalam satu kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!