Jambatan gantung usia lebih 30 tahun perlu diganti
SANDAKAN - Jambatan gantung Sungai Batang yang berusia lebih 30 tahun di Kampung Nelayan Tengah dekat sini perlu digantikan dengan jambatan lebih kukuh untuk kegunaan penduduk terutama pelajar.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sungai Manila, Isgau Abdullah berkata, jambatan sepanjang 150 meter itu telah usang dan dinaik taraf daripada bahan kayu sepenuhnya kepada struktur sokongan konkrit serta jaringan dawai dengan laluan berkayu kira-kira 20 tahun lepas.
"Peruntukan RM100,000 untuk membaik pulih jambatan ini telah dimohon dan diproses oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pada 28 November lepas tetapi dengan keadaan sekarang, jumlah itu sudah tidak memadai, mungkin perlu sekitar RM500,000 untuk membina jambatan baharu yang lebih kukuh," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyertai gotong-royong membaiki jambatan itu bersama penduduk kampung pada Selasa.
Semalam, tular gambar oleh Bernama mengenai pelajar yang memulakan sesi persekolahan berdepan bahaya kerana terpaksa melalui jambatan itu untuk ke sekolah sekali gus mengundang simpati warganet yang meminta pihak berwajib membaikinya pada kadar segera.
Isgau berkata, buat sementara, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila Mokran Ingkat dan ADUN dilantik Datuk Suhaimi Nasir, yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran, telah menyalurkan dana untuk menggantikan kayu yang patah serta tercabut di jambatan itu.
Beliau berkata, kira-kira 90 peratus penduduk Kampung Nelayan Tengah dan Kampung Pampang menggunakan jambatan itu sebagai laluan utama untuk ke Sekolah Kebangsaan Sibugal Besar, bersolat jumaat di Masjid Nurul Hidayah dan menaiki bas awam di Kampung Sibugal Besar.
Menurut beliau, jurutera Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan jurutera MPS dijadual meninjau jambatan itu Khamis ini serta membuat penilaian semula berdasarkan peruntukan RM100,000 yang telah dimohon.
Penduduk Kampung Nelayan Tengah, Hajiril Hajid, 62, meskipun bersyukur kerana belum pernah berlaku insiden yang tidak diingini namun meminta kerajaan mengambil tindakan segera kerana keadaan semasa jambatan itu boleh mengundang bahaya kepada pengguna.
"Antara perkara yang merisaukan ialah keadaan sungai ini yang mempunyai buaya. Kita tidak mahu ada insiden membabitkan haiwan ganas itu lebih-lebih lagi jambatan ini sering digunakan anak-anak untuk ke sekolah," katanya yang juga seorang nelayan.
Pesara tentera, Azman Beddu, 44, dari kampung sama pula berkata, langkah berhati-hati yang terpaksa diambil oleh pelajar ketika melalui jambatan itu juga telah menyebabkan mereka selalu lambat ke sekolah.
"Kami juga tidak ada masjid dan jambatan inilah yang membolehkan kami menunaikan solat Jumaat di Kampung Sibugal Besar," katanya.
Tinjauan Bernama mendapati, beberapa kabel di bahagian bawah jambatan itu telah putus manakala kayu yang dipasang di sepanjang laluan patah atau tercabut dan hanya disokong oleh jaringan dawai.
Semasa dinaik taraf kira-kira 20 tahun lepas, jambatan itu mampu menampung berat sehingga 1,000 kilogram pada satu-satu masa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!