Aspirasi orang muda sudah berbeza

Pentas pertama Game On! 2022: Let’s Menang Bersama mempertemukan dua pasukan yang diketuai Dr Afif dan Prabakaran.
Pentas pertama Game On! 2022: Let’s Menang Bersama mempertemukan dua pasukan yang diketuai Dr Afif dan Prabakaran.
A
A
A

SHAH ALAM - Aspirasi orang muda di negara ini sudah berubah sekali gus menuntut pendekatan berbeza oleh parti-parti politik untuk memenangi hati golongan tersebut dalam pilihan raya akan datang.

Timbalan Ketua Penerangan II Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, setiap parti politik perlu bijak mendekati anak muda dan mengenal pasti aspirasi yang dimahukan mereka pada ketika ini.

"Kami cuba mendekati golongan muda dengan pelbagai program seperti e-Sukan dan juga 'engagement' dalam bentuk wacana dan perbincangan. Ia adalah proses untuk kami dapat tahu apa aspirasi anak muda.

"Aspirasi mereka mungkin sudah berbeza dengan aspirasi kami 10 tahun dahulu. Kami juga melihat permintaan tuntutan orang muda hari ini berbeza-beza daripada segi ekonomi, sosial, peluang pekerjaan dan peluang pendidikan. Ini harus menjadi keutaaman parti politik yang mahu memenangi undi-undi orang muda," katanya dalam program baharu Sinar Harian berkonsepkan e-Sukan iaitu Game On! 2022: Let’s Menang Bersama yang disiarkan di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Pentas pertama program tersebut mempertaruhkan dua pasukan yang bertarung dalam permainan Mobile Legend dengan Dr Afif yang juga Adun Seberang Jaya mengetuai kumpulan Black Wolf manakala Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran mewakili kumpulan White Tiger.

Selain medium untuk kedua-dua pasukan menunjukkan kehandalan dalam permainan Mobile Legend, Game On! 2022: Let’s Menang Bersama turut menyediakan platform untuk membincangkan isu-isu semasa.

Mengulas lanjut, beliau juga melihat langkah kerajaan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun sebagai peluang untuk orang muda terlibat sama dalam proses demokrasi negara dan dalam menentukan hala tuju pentadbiran kerajaan.

"Saya menyarankan lebih ramai orang muda untuk turut sama terlibat secara aktif bukan hanya untuk menjadi aktivis atau wakil rakyat, tetapi dalam masa sama utuk ambil peduli dan tahu mengenai proses perundangan negara.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga peluang untuk orang muda bersama-sama membincangkan secara konstruktif apakah langkah atau hala tuju untuk membangunkan negara," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan e-Sukan di negara ini, Dr Afif percaya ia mempunyai potensi besar untuk dibangunkan selain telah terbukti mampu memberikan pulangan lumayan.

"Pandangan orang ramai terhadap e-Sukan ini sudah berubah berbanding dahulu dan mempunyai potensi besar. Sekarang ini pun ramai orang minat bukan sahaja orang muda bermain di pelbagai platform seperti di telefon pintar dan komputer," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!