Rakyat Malaysia dihantui kenaikan harga barang
TEKANAN kos sara hidup disebabkan kenaikan harga barang, makanan dan perkhidmatan asas adalah antara perkara yang menjadi masalah utama membelenggu kebanyakan rakyat Malaysia.
Isu itu bukanlah baru berlaku ketika negara mula dilanda penularan Covid-19. Kesan dan impaknya sudah pun dibincangkan serta dirasai rakyat untuk tempoh beberapa tahun lalu.
Tahun lalu sahaja, Malaysia telah menyaksikan beberapa insiden kenaikan harga barangan, khususnya melibatkan keperluan makanan asasi rakyat seperti ayam, ikan dan daging.
Malah, tidak sampai beberapa hari selepas rakyat Malaysia menyambut Tahun Baharu, media melaporkan terdapat kemungkinan berlaku kenaikan harga ayam pula.
Pada 7 Januari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, rakyat perlu bersedia dengan kenaikan harga siling ayam yang dijangka berlaku Februari depan.
Alexander berkata, kenaikan itu susulan penamatan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) pada 4 Februari ini.
Beliau menjelaskan, jangkaan kenaikan itu juga dilakukan dengan mengambil kira bebanan ditanggung oleh kumpulan penternak yang terbeban dengan pelbagai kos operasi dan harga dedak import. Bagaimanapun, katanya, peningkatan tersebut tidak membebankan pengguna, sekali gus akan mewujudkan situasi menang-menang.
Antara makanan yang turut berada di bawah skim kawalan harga SHMKM ialah telur ayam dan sayur-sayuran seperti kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import dan timun.
Pada masa sama, kerajaan pada 9 Januari lalu dilaporkan telah membuat keputusan berhubung penetapan tarif elektrik bagi tempoh 2022 hingga 2024.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun memberi jaminan bahawa tarif baharu itu tidak akan membebankan rakyat.
Namun, Takiyuddin tidak memberikan sebarang kepastian sama ada penetapan tarif baharu itu bakal memberi kesan kepada kenaikan harga elektrik yang akan ditanggung rakyat.
Dengan kemungkinan pening-katan harga ayam, sebarang kenaikan dalam tarif baharu elektrik sedikit sebanyak bakal membebankan rakyat yang ketika ini masih sedang cuba memulihkan ekonomi masing-masing.
Meskipun Laporan Trend Gaji oleh penyedia data pengurusan pekerja dan perisian, ECA International mengunjurkan pekerja Malaysia bakal menerima kenaikan gaji sebenar sebanyak 2.8 peratus tahun ini, namun unjuran itu dikhuatiri tidak mampu menampung proses pemulihan diperlukan jika kenaikan harga barang tidak dikawal.
Perlu diingatkan bahawa rakyat Malaysia juga perlu kembali memulihkan dan membina dana simpanan persaraan mereka yang telah digunakan sewaktu berdepan situasi pandemik Covid-19.
Kenaikan kos sara hidup tentunya situasi sangat sukar dielakkan, lebih-lebih lagi Malaysia ketika ini masih sedang berusaha untuk membangun menjadi negara berpendapatan tinggi.
Bagaimanapun, isu peningkatan harga barangan bukan satu masalah besar sekiranya ia turut disertai dengan kadar pertumbuhan kos upah pekerja yang sepadan.
Di Malaysia, kesan kelembapan pertumbuhan pendapatan pekerja dapat dilihat melalui beberapa situasi, antaranya peningkatan hutang isi rumah dan kadar simpanan persaraan yang membimbangkan.
Justeru, selain keperluan melakukan intervensi jangka pendek seperti penguatkuasaan kawalan harga dan pemberian subsidi yang pastinya membebankan kewangan negara, kerajaan perlu melaksanakan usaha strategik bagi meningkatkan pendapatan rakyat supaya berpadanan dengan kos sara hidup semasa.
Seruan agar rakyat Malaysia bekerja lebih daripada dua kerja juga dilihat bukanlah solusi jangka panjang terbaik diperlukan kerana ia dilihat tidak sepenuhnya mampu untuk meningkatkan pendapatan rakyat secara signifikan.
Selain meningkatkan pelaburan berkualiti dan mewujudkan peluang pekerjaan berproduktiviti tinggi, kerajaan perlu menilai kebergantungan negara terhadap tenaga buruh dari luar negara.
Perlu diakui kebergantungan berlebihan terhadap pekerja warga asing berkemahiran rendah di Malaysia secara tidak langsung turut menyumbang kepada kelembapan trend kenaikan gaji pekerja di Malaysia.
* Muhammad Amnan Hibrahim ialah Wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!