FAM harus berani tentukan tindakan susulan
BENARKAH penubuhan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya lebih kepada ‘drama’ yang diarah dan dilakonkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)?
Malah, ada dakwaan yang mengatakan penubuhan badan siasatan bebas itu hanya sekadar mahu mengaburi kepincangan yang berlaku dalam badan induk bola sepak negara itu.
Pelbagai tanggapan negatif timbul sebaik sahaja FAM menerusi presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan penubuhan badan siasatan bebas itu yang diketuai Datuk Dell Akbar Khan.
Justeru, penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli berkata, FAM harus berani dalam menentukan tindakan susulan atau hukuman ke atas mana-mana pihak yang didapati ‘bersalah’ bagi menangkis sebarang persepsi negatif.
“Saya rasa kalau sekadar mahu mencari langkah-langkah yang perlu penambahbaikan, lebih baik mereka (FAM) buat badan siasatan biasa tak perlu badan siasatan bebas ini.
“Bila tubuhkan satu badan siasatan bebas, bermakna kena ada tindakan susulan atau hukuman terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan pasukan negara beraksi hambar pada Piala Suzuki AFF di Singapura.
“Jadi kalau kata badan siasatan bebas ini telus, FAM perlu ambil tindakan susulan atau mengenakan hukuman kepada pihak yang terlibat... tidak kira siapa orang itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Pada Jumaat lalu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan badan siasatan bebas tersebut dianggotai individu daripada luar badan induk bola sepak negara itu.
Dell Akbar yang juga bekas Setiausaha Agung FAM diberi kepercayaan mengetuai badan siasatan bebas itu untuk melakukan bedah siasat laporan prestasi skuad Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu.
Hasil bedah siasat itu kemudiannya akan dibentangkan oleh Dell Akbar bersama langkah-langkah penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan.
Dalam pada itu, Pekan memberitahu, setiap pemimpin sukan harus lebih bertanggungjawab dengan mengundur diri jika gagal menguruskan persatuan yang diterajui atau atlet dibawah naungannya dengan baik.
“Kalau kita mahu lihat sukan negara maju ke hadapan, pemimpin itulah perlulah berjiwa besar. Ambil tanggungjawab dan bukannya masih kekal memegang jawatan untuk kepentingan peribadi.
“Kalau sudah rasa diri itu tidak boleh buat kerja lagi, bagi saja kepada individu lain yang lebih layak kerana ini adalah demi memajukan sukan negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!