Isu elaun tak jejas fokus Haiqal
PELARI pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi tidak menganggap penstrukturan semula skim bayaran elaun atlet yang diumumkan Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini akan menjejaskan persembahannya menjelang Sukan SEA Hanoi pada pertengahan Mei depan.
Sebaliknya, Haiqal berkata, dia melihat skim bayaran elaun terbaharu itu sebagai pembakar semangat buat dirinya untuk berusaha dengan lebih baik pada temasya Sukan SEA kali ini.
“Dalam hal penstrukturan semula skim bayaran elaun atlet, saya lebih gemar menganggap ia sebagai satu pembakar semangat untuk saya beraksi lebih baik pada Sukan SEA di Hanoi nanti.
“Sebab kalau saya tidak dapat bawa balik sebarang pingat pada edisi kali ini, mungkin elaun saya akan dipotong dan sudah tentu jumlahnya juga tidak akan sama.
“Sebab elaun ini penting terutamanya dalam meneruskan karier saya dalam sukan olahraga ini. Jadi saya harus bersungguh-sungguh memburu pingat,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Mengikut penstrukturan semula skim bayaran elaun yang diumumkan MSN minggu lalu, bagi atlet yang memenangi emas Sukan SEA, mereka akan menerima bayaran elaun sebanyak RM2,000 manakala RM800 bagi perak dan gangsa.
Bagi temasya Sukan Komanwel dan Asia, pemenang pingat emas akan menerima RM4,500 manakala perak RM4,000 dan gangsa RM3,500.
Pemenang emas Sukan Olimpik pula akan menerima bayaran elaun sebanyak RM7,500 manakala masing-masing bagi pingat perak RM7,000 dan gangsa RM6,500.
Ketika ditanya mengenai misinya pada Sukan SEA Hanoi, pelari kelahiran Negeri Sembilan itu tidak mahu meletakkan sebarang sasaran yang tinggi memandangkan dia terlepas beberapa kejohanan akibat kecederaan.
“Pada Sukan SEA tahun ini, saya akan cuba buat sehabis baik untuk sekali lagi mencipta kejutan. Saya rasa bukan satu yang mustahil untuk mengulangi pencapaian meraih emas pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.
“Buat masa sekarang, saya harus membuat persediaan yang secukupnya bagi menghadapi Sukan SEA di Hanoi nanti. Harap saya dapat melakukan sesuatu di sana,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!