Masjid bukan platform kempen politik

x-default
x-default
A
A
A

KUALA LUMPUR – "Institusi masjid tidak perlu dijadikan platform untuk menyampaikan hasrat politik kepartian," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Langkah itu, katanya, bukanlah untuk memisahkan agama daripada politik kerana menurutnya, agama Islam atau apa juga agama sekalipun perlu diutamakan berbanding politik.

“Seperti mengajak orang hadir ke perhimpunan ICERD contohnya, ia adalah sesuatu yang ‘political’. Tidak boleh kita jadikan masjid sebagai platform untuk bawa idea politik yang lebih kepada kepartian, bukan politik yang menyentuh dasar dan sebagainya,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan Senator Muhamad Mustafa sama ada kerajaan bersedia menjadikan masjid sebagai institusi terbuka, Mujahid berkata sekiranya pihak pengurusan masjid menjadikan rumah ibadah itu sebagai platform politik kepartian, ia tidak membina ke arah masyarakat yang dihasratkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita berharap masjid betul-betul bebas dan menjalankan peranannya dan tidak digunakan pihak tertentu untuk menyerang orang lain di atas mimbar, dan membawa perkara fitnah,” katanya.

Beliau turut berharap semua pihak bekerjasama bagi menjadikan institusi masjid sebuah institusi yang hebat dan pusat kecemerlangan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!