Dua buruh hidup mewah, rupanya pengedar dadah

No Image Caption
A
A
A

KEPALA BATAS - Kehidupan dua beradik yang hanya bekerja sebagai buruh, tetapi mampu hidup mewah berjaya dibongkar, selepas mereka ditahan polis kerana terlibat kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di Butterworth, dekat sini pada Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Noorzainy Mohd Noor hari ini berkata, polis menahan lelaki pertama berusia 34 tahun, dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kampung Bagan Jermal, Butterworth dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk menjual dadah.

"Dalam serbuan pertama jam 11malam itu, polis merampas 2.1 kilogram (kg) heroin bersama lelaki itu dan seterusnya polis menyerbu sebuah rumah di Taman Melur serta menahan adik lelakinya berusia 32 tahun,” katanya di sini.

Dalam serbuan kedua itu polis merampas 4.53 gram syabu yang disembunyikan di dalam speaker di rumah berkenaan, di mana kesemua dadah dirampas itu dianggarkan bernilai RM84,700 dan dipercayai untuk edaran sekitar Butterworth.

Katanya susulan penahanan mereka, polis menyita tiga buah kereta jenis Honda City, Perodua Viva dan Kancil serta barangan kemas kesemuanya bernilai RM97,100 dan wang tunai sebanyak RM4,050.

Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati mereka mendapatkan bekalan dadah itu dari sebuah sindiket pengedaran dadah sebelum membungkusnya dalam kuantiti kecil, dan menjual kepada pembeli mereka pada harga RM150 setiap bungkus.

Katanya kedua-dua adik-beradik yang positif mengambil dadah ini telah terlibat dalam kegiatan berkenaan sejak enam bulan lepas, dan mereka juga mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan semalam kerana disyaki terlibat dalam 18 kes kegiatan penipuan melalui laman Facebook dengan menawarkan tiket penerbangan murah ke pelbagai destinasi dalam dan luar negara sejak 2017.

"Antara penerbangan yang ditawarkan lelaki ini termasuk ke Kota Kinabalu, Johor, dan Langkawi untuk perjalanan pergi-balik dengan bayaran serendah RM79 seorang, selain penerbangan ke Korea, Jepun, Melbourne dan Calcutta,India serendah RM599," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!