Remaja 13 tahun dikhuatiri hilang

Bantuan Unit K9 polis dan bomba turut digunakan untuk membantu SAR. - Foto FB (Muhammad Iznun Al-Azim dikhuatiri hilang di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang pada Isnin.)
Bantuan Unit K9 polis dan bomba turut digunakan untuk membantu SAR. - Foto FB (Muhammad Iznun Al-Azim dikhuatiri hilang di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang pada Isnin.)
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang remaja, Muhammad Iznun Al-Azim Mahadi, 13, dikhuatiri hilang di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini pada Isnin.

Ibu remaja berkenaan, Khairul Nisa Hamzah, 45, berkata, sebelum kejadian anaknya ada meminta izin untuk keluar mencari rangkaian telefon bersama tiga rakannya kerana liputan di dalam rumah sangat lemah.

Khairul Nisa bagaimanapun mengingatkan anaknya supaya pulang ke rumah sebelum jam 11 malam.

"Saya tidak pasti sama dia dia pulang atau sebaliknya pada jam 11 malam kerana sangat mengantuk," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurutnya, kehilangan anak bongsu daripada lima beradik itu disedari pada jam 3 pagi selepas dia tersedar dari tidur dan melihat anaknya tiada dalam rumah.

Katanya, selepas menyedari anaknya hilang dia terus keluar mencari di kawasan rumah, namun tidak menjumpainya.

Dia juga telah berusaha menghubungi anaknya itu melalui telefon, namun menemui jalan buntu.

Khairul Nisa berkata, pada jam 7 pagi dia menghubungi anak-anaknya yang lain dan bekas suami untuk memaklumkan kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

"Menurut maklumat daripada rakannya, Muhammad Iznun Al-Azim ada memberitahu mereka dia hendak membuang air kecil. Salah seorang daripada rakan mahu menemaninya, namun anak saya enggan ditemani.

"Selepas 30 minit menunggu, rakan-rakannya menyangka dia pulang ke rumah. Jadi mereka mengambil keputusan untuk pulang.

"Saya kemudian telah ke Balai Polis Laloh, Kuala Krai untuk membuat laporan mengenai kehilangan Muhammad Iznun Al-Azim jam 9 malam pada Selasa," katanya.

Menurutnya, gerakan mencari anaknya itu telah dilakukan dengan bantuan penduduk kampung dan anggota pasukan penyelamat, namun masih belum ditemui.

"Saya juga ada melakukan solat hajat dan berjumpa dengan ustaz sebagai ikhtiar bagi memudahkan kerja-kerja mencari," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu turut dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Selain itu, kita turut mendapatkan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) polis dan bomba bagi membantu SAR," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!