Masa depan Salah terletak di tangan Liverpool
PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah menegaskan dia tidak meletakkan sebarang syarat yang tidak masuk akal dalam kontraknya baharunya bersama The Reds.
Menurut pemain kelahiran Mesir itu, dia mahu kekal di Anfield, namun segalanya terpulang kepada pemilik The Reds, Fenway Sports Group untuk mencapai persetujuan mengenai lanjutan kontraknya.
Malah Salah berharap, kelab itu dapat menunjukkan penghargaan mereka di atas apa yang telah dicapainya sejak berpindah dari Roma pada 2017.
“Saya mahu kekal di sini (Liverpool), namun keputusan itu bukan terletak di tangan saya. Ia berada di tangan mereka.
“Mereka tahu apa yang saya mahu dan saya tidak sesekali meminta perkara yang tidak masuk akal dalam kontrak baharu saya. Ia kerana apabila anda sudah melakukan sesuatu yang positif buat mereka, mereka perlu menghargai dan membalas jasa anda.
"Saya telah berada di sini selama lima tahun dan saya sangat mengenali kelab ini. Saya suka peminat dan peminat menyayangi saya. Sekarang ini keputusan berada di tangan mereka,” katanya.
Untuk rekod, Salah ketika ini yang mendahului carta penjaring dan turut muncul sebagai pemain dengan bantuan gol terbanyak musim ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris mempunyai baki kontrak 16 bulan bersama Liverpool.
Laporan sebelum ini menyebut, Salah meminta kenaikan gaji sehingga £500,000 (RM2.8 juta) seminggu untuk kontrak baharu menyebabkan Liverpool terpaksa menangguh rundingan bersama pemain Mesir itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!