Pelajar Tingkatan Enam maut dalam perjalanan ke sekolah

Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke sekolah pada Rabu. - Foto ihsan PDRM
Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke sekolah pada Rabu. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

LIPIS - Seorang pelajar Tingkatan Enam maut dalam perjalanan ke sekolah selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (KM) 23 Jalan Lipis-Merapoh, Kechau di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Ahmad Majidi Eswady,19, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Padang Tengku yang menunggang motosikal Modenas Kris meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan dada.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu Mitsubishi Triton yang datang dari arah Lipis-Merapoh dalam perjalanan ke tempat kerja di Kechau.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu lelaki warga emas berusia 75 tahun itu gagal mengawal kenderaan lalu memasuki laluan bertentangan dipercayai pandangan terhad akibat keadaan berkabus.

"Kenderaan itu kemudian melanggar bahagian hadapan motosikal mangsa mengakibatkan pelajar terbabit parah.

Mitsubishi Triton yang dipandu warga emas terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal di KM 23 Jalan Lipis-Merapoh, Kechau pada Rabu. - Foto ihsan PDRM
Mitsubishi Triton yang dipandu warga emas terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal di KM 23 Jalan Lipis-Merapoh, Kechau pada Rabu. - Foto ihsan PDRM

"Pemandu Mitsubishi mengalami kecederaan di kepala dan kaki dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Azli berkata, sampel darah dan air kencing untuk menguji tahap alkohol dan dadah telah diambil daripada pemandu terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kenderaan akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan kerosakan kemalangan selain mengesan saksi bagi membantu siasatan," katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!