Sambutan Thaipusam di Pulau Pinang hanya tunggu lampu hijau MKN
GEORGETOWN - Pulau Pinang hanya menunggu lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk sambutan perayaan Thaipusam yang akan bermula pada 17 Januari ini.
Pengerusi Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam (Kuil Hilltop), Datuk R Subramaniam berkata, pihaknya sedang menunggu prosedur operasi standard (SOP) akhir yang akan dikeluarkan oleh MKN sebelum membuat pengumuman akhir mengenai sambutan perayaan berkenaan.
Katanya, setakat ini, sambutan Thaipusam di negeri ini hampir selesai apabila proses persediaan untuk menyambut perayaan tersebut sudah mencapai 90 peratus.
"Persiapan di dalam kawasan kuil dan juga di dalam kuil kini hampir siap.
Bagaimanapun, kita belum menerima SOP rasmi daripada MKN lagi.
"Apabila sudah mendapat lampu hijau daripada MKN, maka kita akan menyambut Thaipusam berdasarkan SOP rasmi yang dikeluarkan.
Kami telah bersedia untuk apa jua keadaan bagi memastikan sambutan Thaipusam yang akan disambut bermula 17 Januari ini selamat.
"Untuk 17 dan 18 Januari ini, kita akan memastikan semua yang hadir akan mematuhi SOP dikeluarkan MKN manakala hari-hari lain, kita akan mematuhi SOP sedia ada," katanya selepas mengiringi Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika membuat lawatan ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam di sini pada Rabu.
Sebelum ini, hanya upacara 'paal kudam' atau menjunjung belanga yang mengandungi susu dibenarkan pada sambutan Thaipusam di Pulau Pinang tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang PHEB) P Ramasamy berkata, keputusan itu dicapai setelah pihaknya mengadakan mesyuarat dengan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, polis sudah bersiap siaga untuk menjalankan penugasan sempena sambutan Thaipusam dengan kekuatan 1,300 anggota dan pegawai.
Bagaimanapun, jumlah keanggotaan itu akan dimuktamadkan selepas MKN mengeluarkan SOP dijangka dua hari lagi.
"Setakat ini, seramai 1,300 anggota dan pegawai telah bersiap sedia untuk penugasan sambutan Thaipusam ini.
Bagaimanapun, jumlah itu bergantung kepada SOP rasmi yang akan dikeluarkan MKN.
"Mungkin akan dikurangkan atau sudah mencukupi, semuanya bergantung kepada SOP rasmi nanti.
Kita akan tunggu sehingga SOP daripada MKN untuk atur kerja," katanya.
Beliau dalam pada itu menasihati semua penganut agama Hindu supaya mematuhi SOP ditetapkan agar sambutan perayaan itu berjalan lancar.
"Saya difahamkan, pihak kuil ketika mengadakan mesyuarat bersama MKN telah memohon agar penganut yang uzur tidak datang pada waktu puncak, sebaliknya datang (ke kuil) pada hari lain.
"Kita tidak boleh 'lari' bahawa kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang akan berlaku ketika sambutan Thaipusam, tetapi penduduk negeri ini sudah maklum tentang perkara itu," katanya.
Pada Selasa, polis akan bekerjasama dengan pihak pengurusan kuil di Pulau Pinang bagi memastikan SOP sambutan Thaipusam yang akan disambut pada 18 Januari ini dipatuhi semua pihak.
Ia susulan kes penularan Covid-19 masih aktif pada ketika ini yang mana, pematuhan SOP amat dititik beratkan bagi mengekang penularan pandemik berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!