Penganggur didakwa bunuh dua beradik
SELAYANG - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dua tuduhan membunuh dua beradik berusia 19 dan tiga tahun dalam kejadian menyayat hati melibatkan kebakaran di Kampung Baru Kundang, Rawang, empat bulan lalu.
Mohd Fauzi Selamat, 46, yang memakai baju T warna hitam, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkod daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh B Diviyah, 19, dan adik lelakinya, B Visnu, 3, di rumah mangsa di Kampung Baru Kundang antara jam 10.10 hingga 10.40 pagi, 14 September 2021.
Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 16 Mac depan untuk laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Turut hadir dalam prosiding itu, peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Mahendren Naidu.
Pada 14 September tahun lalu, Sinar Harian melaporkan seorang remaja perempuan maut manakala adiknya berusia tiga tahun cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Baru Kundang pada Selasa.
Bagaimanapun, kanak-kanak malang itu dilaporkan maut di hospital.
Sementara itu, ibu bapa mangsa, P Chitra Devi, 48, dan suaminya, T Balan, 48, ketika ditemui di luar mahkamah berkata, mereka menuntut keadilan di atas kejadian yang berlaku terhadap dua anak mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!