Penuntut mengaku tidak bersalah buat hantaran jelik terhadap TMJ
JOHOR BAHRU - Seorang penuntut sebuah universiti awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan membuat komen jelik ke atas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan kerabat diraja menerusi Twitter pada awal tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Muazz Ishak, 23, didakwa secara sedar memulakan penghantaran komen jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Twitter '@muazzishak' di pautan https://twitter.com/muazzishak pada 5 Febuari 2021.
Perbuatan itu didakwa di lakukan di Parit Jamal Benut, Pontian.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun, atau kedua-duanya, dan didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Idayu Salim dan tertuduh diwakili peguam Muhd Valantino Ifni Ho Ridzuan.
Sebelum itu, Noor Idayu menawarkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.
Bagaimanapun, Muhd Valantino Ifni Ho memohon jaminan rendah dikenakan memandangkan tertuduh yang masih belajar dalam jurusan sains sosial peringkat sarjana muda tidak mendapat sebarang biasiswa atau pinjaman pelajaran.
Jelasnya, tertuduh juga bekerja sambilan di sebuah kafe dari jam 5 petang hingga 11 malam untuk menampung kos pengajiannya.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan sebutan semula kes pada 14 Februari depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!