Pengampunan dosa rasuah sukar: Firdaus Wong

Firdaus Wong
Firdaus Wong
A
A
A

SHAH ALAM - Dosa rasuah bukan sahaja melibatkan diri penzalim dengan Yang Maha Pencipta, sebaliknya dosa yang terpaut dengan orang ramai atau pihak ketiga.

Pendakwah yang juga aktivis terkenal, Firdaus Wong Wai Hung berkata, rasuah bukan sahaja satu dosa dengan ALLAH SWT sebaliknya melibatkan pihak ketiga yang dizalimi haknya.

Menurutnya, perbuatan rasuah adalah suatu pemberian atau pulangan yang bertujuan untuk memalsukan kebenaran.

Katanya, orang yang menzalimi akan diketemukan semula dengan pihak yang dizaliminya dengan begitu dekat di akhirat kelak, malah akan dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH yang menjadi hakim pada hari pembalasan.

"Jika terlibat dengan rasuah, ada kala kita mengetahui pihak yang terkesan dengan perbuatan jijik tersebut. Maka kita boleh pergi minta maaf kepadanya.

"Tetapi bagaimana pula jika orang yang kita zalimi itu tidak diketahui siapakah gerangannya? Bagaimana kita mahu memohon kemaafan?" katanya pada program Kafe Rasuah Busters bertajuk Dosa Rasuah Tak Terhapus Di Tikar Sejadah yang disiarkan secara langsung di platform digital Rasuah Busters pada Selasa.

sam3
sam3

Mengulas lanjut, Firdaus Wong berkata, apabila ada melibatkan pihak ketiga, situasi tersebut bukan boleh diselesaikan dengan hanya pergi ke Makkah, memohon keampunan atau menzahirkan di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, perbuatan-perbuatan tersebut bukan satu penanda aras keikhlasan, sebaliknya pelaku perlu memohon maaf daripada orang yang dizaliminya itu sendiri.

Jelasnya, sekiranya orang yang terlibat itu tidak mahu mengampunkan dosa yang dilakukan terhadapnya, maka ia perlu diselesaikan di akhirat kelak di hadapan ALLAH SWT.

Tambahnya, dosa rasuah adalah suatu perkara yang sukar hendak diselesaikan dan tidak boleh hendak 'kawtim'.

"Mungkin ada duit untuk selesaikan di dunia menerusi jalan belakang, tetapi kita orang Islam ada pemilik hari akhirat.

Firdaus Wong (kiri) menjadi panel program Kafe Rasuah Busters bertajuk Dosa Rasuah Tak Terhapus Di Tikar Sejadah yang dihoskan oleh Sam Ghani.
Firdaus Wong (kiri) menjadi panel program Kafe Rasuah Busters bertajuk Dosa Rasuah Tak Terhapus Di Tikar Sejadah yang dihoskan oleh Sam Ghani.

"Mungkin di dunia kita boleh terlepas dengan merasuah pihak-pihak tertentu tetapi tidak di hadapan ALLAH SWT," katanya.

Selain itu katanya, ada pihak mengaburi perbuatan jenayah dengan menampakkan sisi baik diri dengan amal kebajikan.

Jelasnya, perbuatan seumpama itu dilakukan bagi menampakkan kebaikan diri, sekali gus bebas membuat perkara kejahatan supaya orang tidak tahu dia jahat sebenarnya.

"Jika mahu bertaubat daripada rasuah, seorang itu bukan sahaja perlu insaf dan tidak mahu mengulanginya lagi tetapi perlu menjadi pendukung kepada amalan antirasuah atau memberi kerjasama kepada badan-badan yang berusaha mencegah rasuah.

"Semoga ia menjadi asbab untuk ALLAH mengampuni dosa-dosa lalu. Ini kerana orang yang muflis di akhirat kelak adalah mereka yang solat tetapi hakikatnya dia masih lagi menzalimi pihak lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!