Gempar bot nelayan hangus

Kebakaran melibatkan sebuah bot nelayan bernombor TRS 3187
Kebakaran melibatkan sebuah bot nelayan bernombor TRS 3187
A
A
A

MARANG - Nelayan yang berada di pusat pendaratan bot di Kuala Seberang Marang di sini digemparkan dengan insiden kebakaran melibatkan sebuah bot nelayan bernombor TRS 3187, hari ini.

Keadaan menjadi lebih panik apabila tiga nelayan termasuk juragan bot berada di atas bot dan api menjadi marak kerana terdapat empat tong berisi minyak dalam bot tersebut.

Pegawai Operasi Bomba, Pegawai Bomba, Fauzi Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.40 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, bot milik Mohd Zuraidi Abdullah, 46, itu dipercayai terbakar ketika kerja-kerja penyelenggaraan enjin dilakukan oleh juragan bot, Mohamad Sulong, 68, bersama dua lagi rakannya.

"Kita dimaklumkan kebakaran itu berlaku ketika juragan terbabit melakukan penyelenggaraan enjin, mungkin berlaku percikan api lalu menyambar empat tong minyak diletakkan berdekatan.

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa yang dilaporkan namun punca sebenar kejadian itu dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!