Tok Dalang wayang kulit meninggal dunia
FB: Al-Fatihah...
TUMPAT - Pemergian Pak Soh seorang tok dalang wayang kulit dianggap kehilangan besar dalam seni permainan rakyat Kelantan.
Pak Soh atau nama sebenarnya, Yusoff Mamat, 68, meninggal dunia di Hospital Tumpat akibat sakit jantung, hari ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 2 pagi selepas ke hospital tersebut menunggang motosikal.
Isterinya, Zaharah Hassan, 64, berkata, memang terkejut apabila pihak hospital menelefon memberitahu Pak Soh tenat di unit kecemasan.
"Saya terkejut sebab dia bagi tahu nak ke galeri wayang kulit di hadapan rumah.
"Macam mana dia boleh menunggang motosikal seorang diri ke hospital Tumpat tengah malam buta itu," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Laut, di sini.
Zaharah berkata, tiada apa-apa perubahan pelik ditunjukkan Allahyarham suaminya cuma keadaan kesihatan Pak Soh kurang baik kerana batuk dan asma.
"Sebelum ini, Pak Soh ada ke klinik, cuma mungkin malam tadi dia rasa tak sihat tetapi tak bagi tahu keluarga.
"Pak Soh dah lama menderita penyakit jantung, kencing manis dan asma," katanya.
Menurut Zaharah lagi, semalam Allahyarham Pak Soh dilihat sibuk di galeri wayang kulitnya kerana ada pelajar dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) datang untuk melihat pameran watak wayang kulit.
"Pemergiannya memang mengejutkan saya dan anak-anak sebabnya dia nampak sihat," kata ibu kepada 13 anak ini.
Allahyarham Pak Soh dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Laut selepas Jumaat, hari ini.
Seni wayang kulit bagaikan sudah sebati dalam diri Allahyarham.
Mana tidaknya, lebih abad dalam Allahyarham aktif dengan permainan tradisi rakyat Kelantan ini.
Allahyarham Pak soh tidak hanya popular di Kelantan malah pernah membuat persembahan dan demonstrasi luar negara seperti Indonesia, Jepun, Itali dan Afrika Selatan kerana masyarakat luar berminat kepada wayang kulit.
Allahyarham Pak Soh juga juga dinobatkan sebagai Tokoh Budaya Seni Negeri Kelantan pada Mac tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!