Kerja baik pulih Taman Eko Rimba Jeram Toi ambil masa lama
SEREMBAN - Kerja-kerja pembaikan dan pembinaan semula Taman Eko Rimba Jeram Toi yang musnah akibat banjir pada Disember lalu akan mengambil masa lama.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pusat rekreasi itu bagaimanapun akan kekal sebagai antara kawasan pelancongan di Negeri Sembilan.
Menurutnya, ia akan dibangunkan semula secara berfasa dan sebagai permulaan melibatkan kos antara RM2 juta sehingga RM3 juta.
"Kita ada satu tempat menarik di Jeram Toi dan sekarang kita kehilangan keseluruhannya. Bangunan yang ada di sana pun semuanya musnah dan apa yang tinggal hanya batu-batu dan aliran air baru.
"Semalam (Selasa) saya bersama Pengarah Jabatan Perhutanan dan beberapa pengarah lain telah ke sana untuk lihat semula bagaimana kita boleh majukan semula kawasan itu dengan lebih baik dan teratur sekali gus meletakkannya semula sebagai destinasi pelancongan di negeri ini," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Aminuddin berkata, kerja-kerja pembaikan itu memerlukan perancangan teliti dan beliau tidak mahu ia dilaksanakan secara tergesa-gesa yang akhirnya mengorbankan keindahan yang ada.
Mengulas lanjut beliau berkata, Taman Eko Rimba Jeram Toi akan menjadi lebih menarik selepas ini dengan landskap baharu termasuk pembinaan bangunan di situ yang lebih teratur.
Katanya, kerja-kerja pembersihan kolam tadahan Loji Rawatan Air Pantai yang terjejas akibat banjir turut mengambil masa panjang kerana ia dipenuhi batu-batu besar dan jentera sukar masuk ke kawasan itu.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kemusnahan pusat rekreasi berkenaan dalam kejadian banjir pada 20 Disember lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!