Syafiq mahu manfaat pengalaman untuk Hijau Kuning

Syafiq semasa mengikuti sesi latihan bersama KDA FC di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Selasa. - Foto KDA FC
Syafiq semasa mengikuti sesi latihan bersama KDA FC di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Selasa. - Foto KDA FC
A
A
A

ALOR SETAR - Penyerang baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Syafiq Ahmad akan menggunakan pengalamannya bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk membantu Hijau Kuning dalam saingan Liga Malaysia termasuk memberikan cabaran di pentas Piala AFC 2022 dengan sekurang-kurangnya layak ke pusingan kedua.

Pemain berusia 26 tahun itu yang dipinjamkan selama semusim daripada juara Liga Super 2021 mahu mendapatkan semula rentak dan lebih banyak minit permainan bersama bekas pasukannya itu.

Menurutnya, KDA FC yang tampil dengan lebih ramai muka baharu pada musim ini memberikan sedikit kelainan kepadanya namun keserasian yang ditunjukkan semakin meningkat selain semua pemain dilihat gembira berlatih bersama.

"Saya dah merantau sehingga ke JDT. Sedikit pengalaman yang ada bersama kelab ini akan digunakan untuk membantu KDA FC, namun saya juga perlu belajar dengan pemain-pemain sedia ada.

"Sasaran saya pada musim 2022 adalah untuk mendapatkan kembali rentak dan keyakinan. Saya mahu buktikan untuk pasukan kita ada saingan Piala AFC dan mahu Kedah dapat layak ke pusingan seterusnya," katanya pada pemberita semasa ditemui di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Selasa.

Penyerang kebangsaan itu berkata, momentum yang berjaya dikekalkan olehnya selama ini adalah hasil kerja keras seperti latihan termasuk mendengar setiap arahan jurulatih.

"Selain itu faktor kekuatan saya selama ini adalah keluarga saya iaitu ibu bapa termasuk isteri dan anak. Mereka terus memberikan perangsang kepada saya untuk berjaya," ujarnya.

Produk sekolah sukan SMK Tunku Anum, Jitra itu kembali semula ke Darul Aman pada musim 2022 selepas empat tahun meninggalkan pasukan Kedah.

Artikel Berkaitan:

Syafiq mula mencuri perhatian selepas diserap ke skuad Piala Presiden Kedah sebaik tamat pengajian pada 2013.

Beliau antara pemain muda berusia 18 tahun yang mula mencipta nama bersama skuad utama Kedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!