INCEIF, MyClass Technologies sedia lebih banyak kursus kewangan Islam
PETALING JAYA - Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Myclass Technologies Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membolehkan pengguna melanggan kandungan dihasilkan terutama berkaitan kewangan Islam menerusi platform pendidikan digital, MyClaaz.com.
Myclass Technologies Sdn Bhd merupakan platform pendidikan digital membabitkan interaksi dan pembabitan secara langsung oleh pelajar, tenaga pengajar, penyedia pendidikan dan peniaga.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF, Profesor Datuk Dr Azmi Omar berkata, kerjasama tersebut akan mengukuhkan INCEIF sebagai peneraju dalam penciptaan dan pengurusan ilmu kewangan Islam.
“Kerjasama ini akan membolehkan INCEIF menjangkau rangkaian pelajar kewangan Islam yang lebih luas sama ada daripada industri atau ahli akademik di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani MoU antara INCEIF dan Myclass Technologies Sdn Bhd di sini pada Rabu.
Beliau berkata, kerjasama tersebut melibatkan dua komponen merangkumi program dan kursus-kursus spesifik yang disediakan dalam MyClaaz.com sama ada untuk mendapatkan sijil atau 'micro-credential'.
“Contohnya, kalau satu semester untuk belajar agak lama, jadi kita pecahkan kursus tersebut. Satu semester dipecahkan kepada 20 topik dan pelajar boleh ambil topik pertama dalam masa dua hari sahaja.
“Mereka boleh mengumpulkan topik tersebut kemudian. Selepas sudah cukup, dia boleh gunakan untuk membuat pemindahan kredit untuk masuk ke universiti,” jelas beliau.
Sementara itu, pengasas Myclass Technologies Sdn Bhd, Zaharuddin Abd Rahman berkata, sebanyak tiga program telah dimasukkan dalam MyClaaz.com setakat ini.
Menurutnya, program tersebut membabitkan tiga bahasa iaitu Muzakarah Kewangan Islam dan Muzakarah Cendekiawan Nusantara (bahasa Melayu), International Shariah Scholars Forum (bahasa Inggeris) serta International Syariah Scholars Forum (bahasa Arab).
“Tiga (program) sudah dimasukkan dan insya-ALLAH akan menyusul lebih banyak. Setakat ini, terdapat lebih kurang 2,000 pelajar yang berdaftar dalam MyClaaz.com.
“Dalam beberapa minggu, platform ini akan dijadikan sebagai aplikasi juga. Walaupun kita ada laman web, tetapi berdasarkan statistik, majoriti pelajar cenderung mengakses melalui telefon pintar.
“Jadi aplikasi adalah satu keperluan sekarang. Sebab itu, kita akan melancarkan aplikasi tersebut pada minggu hadapan supaya lebih mudah,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!