[VIDEO] Koperal bantu bersihkan longkang tersumbat
PUTATAN - Seorang anggota polis trafik tidak kisah pakaian seragamnya terkena kotoran ketika membersihkan longkang yang tersumbat dengan sampah sehingga menyebabkan air bertakung di atas jalan di Kampung Meruntum di sini pada pagi Rabu.
Tindakannya itu sempat dirakam oleh orang awam sebelum videonya berdurasi dua minit 38 saat dimuat naik di Facebook rasmi Polis Daerah Penampang sehingga mendapat 114 komen daripada warganet dan dikongsi oleh 81 pengguna Facebook setakat ini.
Dalam hantaran di Facebook berkenaan memaklumkan tindakan Koperal Shah Erman Ekhsan Sabri itu adalah atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab beliau.
Beliau yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ketika itu sedang menjalankan tugasan 'point duty' bersama dua lagi rakan setugasnya dikenali sebagai Sarjan Fadzil dan Konstabel Syazwan.
Ketika itu, ketiga-tiga anggota terbabit sedang melakukan tugasan mengawal lalu lintas dan melancarkan aliran trafik di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, berlaku takungan air di jalan raya berkenaan dan menyebabkan Koperal Shah Erman mengambil langkah untuk mengeluarkan sisa kotoran dalam longkang yang tersumbat.
Dalam hantaran Facebook terbabit turut menitipkan pesanan bahawa biar seragam mereka yang putih tercalit 'kotoran' asal tidak 'integriti' tercalar.
Sebelum itu, Koperal Shah Erman yang berusia 35 tahun berasal dari Kuantan Pahang dan sudah berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama sembilan tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!