Iktiraf Afghanistan: Malaysia ambil pendekatan berhati-hati
PUTRAJAYA - Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati untuk mengiktiraf Afghanistan yang kini ditadbir oleh kerajaan Taliban.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pendirian akan dibuat sekiranya negara itu diiktiraf secara rasmi oleh organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
"Kita belum iktiraf Kabul dan tidak akan tergesa-gesa dalam pengiktirafan," katanya.
Meskipun begitu katanya, Malaysia telah menyumbang AS$100,000 kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai usaha kemanusiaan di Afghanistan.
"Sekarang kita merancang untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan dan perbincangan dengan negara lain turut diadakan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan amanat tahun baharu di kementeriannya pada Rabu.
Beliau berkata, bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Tetap Hak Asasi Manusia Bebas OIC, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman dilantik sebagai Penasihat Khas di Afghanistan untuk memudahkan bantuan kemanusiaan.
"Sebenarnya sudah ada badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang memasuki negara itu untuk membantu iaitu Global Peace Mission (GMP)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!