Kena viral dulu baru nak baiki jambatan uzur
DUA hari lalu sebak hati Merak Jalanan apabila melihat beberapa keping foto tular yang memaparkan pelajar sekolah melintasi jambatan gantung uzur.
Demi menuntut ilmu, beberapa pelajar di sebuah kampung dilihat menyabung nyawa meniti jambatan yang dibina dengan jaring dawai besi berlantaikan papan-papan kayu reput.
Tapi rasa sebak bertukar jadi 'panas' kerana foto yang pada mulanya disangka kejadian di luar negara adalah sebaliknya.
Kejadian tersebut rupa-rupanya berlaku di tanah air kita sendiri iaitu di sebuah perkampungan di Sandakan, Sabah.
Secara kebetulan foto 'berharga' itu dirakamkan oleh seorang jurufoto Bernama yang Merak Jalanan kenali sewaktu bertugas di Terengganu beberapa tahun dahulu.
Terima kasih kepada jurufoto, Arjasneh Ahmad yang memaparkan realiti sebenar penghuni di ceruk-ceruk kampung yang kepayahan hidup mereka kerap kali umpama disapu di bawah karpet.
Lebih membuatkan Merak Jalanan kecewa apabila ada penduduk yang mendedahkan mereka telah banyak kali dijanjikan jambatan lebih gah dan selamat setiap kali menjelang pilihan raya.
Seorang netizen turut menunjukkan janji seorang calon pada tahun 2018 untuk membina jambatan baharu. Tetapi setelah menang jangan kata jambatan baharu, jambatan lama pun tak dibaik pulih.
Sebaliknya ahli politik Sabah masing-masing lebih sibuk bergasak kuasa. Apa tidaknya baru dua tahun lebih pilihan raya umum, rakyat Sabah terpaksa mengundi lagi untuk pilihan raya negeri (PRN) gara-gara pergolakan politik.
Cuba bayangkan dengan kos PRN Sabah sebanyak RM186 juta berapa banyak jambatan sebenarnya boleh dibina dan berapa banyak jalan yang boleh diturap.
Walaupun Merak Jalanan mendapat berita yang ada beberapa pihak dan wakil parti telah menggantikan lantai jambatan reput dengan papan yang baharu, tapi untuk jangka panjang binalah satu jambatan lain.
Jangan sampai viral sekali lagi baru pakat-pakat kalut nak buat kerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!