Selesaikan masalah air di Kedah sebelum tuntut caj air mentah: Cake

Mohamad Yusrizal
Mohamad Yusrizal
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah diminta memberi keutamaan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pembekalan air kepada pengguna berbanding menguruskan tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, rakyat lebih mementingkan bekalan air berkualiti dan berterusan kerana ia merupakan keperluan asas.

Menurutnya, hasrat kerajaan negeri yang mahu menuntut caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun tidak seharusnya menjadi keutamaan, sebaliknya pastikan terlebih dahulu gangguan bekalan air di negeri ini diselesaikan secara menyeluruh.

“Cadangan untuk bawa kes itu ke mahkamah bukan kehendak rakyat, itu kehendak kerajaan negeri. Apa yang rakyat mahukan adalah bekalan air sentiasa ada, tidak terputus bekalan, aliran air deras tanpa perlu gunakan pam, air berkualiti dan tidak keruh.

“Sediakan semua kemudahan itu dengan sempurna di semua kawasan di negeri ini, barulah fikirkan untuk teruskan tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Mohamad Yusrizal berkata, isu gangguan bekalan air sudah berlarutan sekian lama, namun sehingga kini masih belum diselesaikan.

“Bekalan air di Kedah masih kritikal di beberapa kawasan, malah ada tempat yang penduduknya menerima air dengan perlahan akibat tekanan rendah dan kualiti air juga keruh.

“Kerajaan pun sudah beberapa kali bertukar, namun masalah bekalan air tidak juga selesai. Ada pengguna terpaksa beli penapis air dan pam air untuk pastikan bekalan sentiasa ada, kos itu pula ditanggung pengguna,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, adalah lebih relevan untuk menaik taraf sistem penyampaian bekalan air kepada pengguna terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan kepada perkara yang kurang penting.

“Tak perlu sensasikan isu tuntutan caj air mentah, yang penting perbaiki kualiti air dahulu. Air di Pulau Pinang elok pula sedangkan mereka ambil dari sungai kita (Kedah).

“Alasan penduduk semakin meningkat menyebabkan bekalan sering terganggu, bagi saya tidak masuk akal. Apa gunanya bahagian perancangan bandar kalau tidak dapat sediakan perancangan yang sesuai dengan peredaran zaman,” katanya.

Mohamad Yusrizal berharap kerajaan negeri segera mohon peruntukan tambahan bagi menukar paip lama yang kebanyakannya usang kerana kosnya amat tinggi.

“Sebagai pengguna, kita nak lihat sama ada tuntutan itu kelak beri manfaat kepada rakyat Kedah. Diharap sekiranya tuntutan itu berjaya, perkara pertama yang kerajaan negeri lakukan ialah membelanjakan semula untuk tingkatkan kualiti dan pembekalan air agar tidak lagi mengalami gangguan. Bekalan air hendaklah sampai kepada semua pengguna,” katanya.

Menurutnya, hasil tuntutan berkenaan juga boleh dipulangkan kepada pengguna menerusi pemberian rebat dan subsidi.

“Manfaat itu boleh diberikan kembali kepada pengguna domestik menerusi bil bulanan. Contohnya, rendahkan tarif atau potongan bayaran untuk amaun tertentu.

“Manakala bagi penerima e-Kasih, tawarkan bekalan air percuma. Ia tidak mustahil dilakukan sekiranya tuntutan itu berjaya, malah kerajaan negeri boleh merangka perancangan setahun bagaimana mahu membelanjakan dan untuk tujuan apa,” ujarnya.

Pada 1 Januari, kerajaan negeri mengumumkan telah melantik peguam bagi mendapatkan konsultasi menguruskan tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, tindakan itu menunjukkan pihaknya serius dalam isu tuntutan terbabit.

Sebelum ini, Kedah mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah RM50 juta setahun berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapatkan bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan tidak akan membuat sebarang bayaran pajakan kepada Kedah, malah tegaskan kerajaan Persekutuan juga tidak perlu membayar sebarang tuntutan luar daripada perjanjian sedia ada.

Kon Yeow sebaliknya berkata, pihaknya bersedia bersemuka dengan kerajaan Kedah di mahkamah bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkan sejak 10 tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!