Rasuah jadi endemik: 'Dulu duit kopi, sekarang duit kondo...'
KUALA LUMPUR - Tahap rasuah di negara ini boleh disifatkan sebagai satu endemik, namun fakta bahawa semakin ramai yang bercakap mengenainya merupakan satu perkembangan yang baik.
Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin berpendapat, keterbukaan orang ramai terutama di media sosial boleh dilihat, sekali gus menandakan keberanian dan tidak takut meluahkan kekecewaan mereka.
Tegas Ameer, apa yang penting kini adalah mengambil langkah individu bagi membawa perubahan yang diingini, terutama dari aspek menghalang bermulanya rasuah di peringkat akar umbi.
"Kita boleh tengok menteri pun melakukan lawatan dan sebagainya, tidak ada jarak 1.5 meter tetapi mereka tidak didenda penguatkuasa."
Tidak mengapa denda jika mereka melanggar SOP, tetapi gunakan ini sebagai ancaman juga, untuk cari 'duit kopi' lah, orang Malaysia selalu sebut.
"Perkataan itu sendiri signifikan.
Duit kopi dimaksudkan ialah untuk kopi, bukan untuk kondo, tetapi kita sudah biasa bertolak ansur dengan hal duit kopi ini.
Orang beri RM10 bagi beli kopi, tetapi sekarang ia menjadi 'duit kondo'.
Memang sangat teruk keadaannya tetapi yang paling penting ialah kita mesti menjadi perubahan yang kita mahu lihat di dunia.
Kalau kita nak lakukan sesuatu, kita boleh lakukannya," katanya dalam sesi diskusi bersama Penasihat Kumpulan Star Media Group Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai berjudul 'Bribery Turns Endemic', pada Rabu.
Mengakui pernah dihubungi "individu berpangkat tinggi" kerana kelantangannya, Ameer tidak gentar sebaliknya berharap lebih ramai ahli perniagaan akan bersuara kerana golongan itu dilihat mempunyai platform dan pengaruh yang diperlukan untuk membawa perubahan sebenar.
Orang awam boleh 'bising' di media sosial contohnya, tetapi dia tidak mempunyai pengaruh.
Jadi ahli perniagaan, terutama yang ada nama dan empayar besar, jika kita boleh bersuara, bawa perhatian orang ramai bahawa ada sesuatu yang salah, itu lebih baik," katanya.
Tambahnya, ahli politik memang sukar diubah, tetapi mereka bukan satu-satunya golongan yang melakukan rasuah dan hal itu lebih membimbangkan.
Justeru, beliau melihat ketelusan dalam semua proses sebagai jawapan kepada persoalan bagaimana mahu mengurangkan rasuah.
Kita selalu cakap saya jumpa awak di mahkamah, kita kata hakim akan buat penghakiman yang betul dan adil, tetapi hal seperti integriti pun kini dipersoalkan.
Inilah kebimbangan rakyat, kerajaan dan keadilan.
Kita selalu kata di Malaysia, paling teruk pun anda ke mahkamah dan mahkamah akan sokong orang yang betul, melainkan anda mendapat peguam yang salah.
Tetapi Peguam Negara pun boleh dipersoalkan, ditukar setiap kali parti politik baharu masuk.
Ini tidak masuk akal. Peguam Negara sepatutnya mengendalikan hal undang-undang.
Apa yang anda mahu lakukan, sebaik sahaja anda masuk, anda tukar Peguam Negara.
Apakah tugas beliau sebenarnya?
Malah lantikan Peguam Negara juga tidak sepatutnya diberi kepada kerajaan, ada sesuatu yang tidak kena.
Inilah masalahnya, jika kita mempunyai sistem keadilan yang betul maka defisit kepercayaan akan turun," ujarnya lagi. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!