[VIDEO] Lelaki hilang takut polis ditemukan bergayut pada pokok

Lokasi Ahmad Zul Mukriz dilaporkan menghilangkan diri selepas terserempak dengan anggota polis yang membuat rondaan di Kampung Nelayan, Tok Bali pada Isnin.
Lokasi Ahmad Zul Mukriz dilaporkan menghilangkan diri selepas terserempak dengan anggota polis yang membuat rondaan di Kampung Nelayan, Tok Bali pada Isnin.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang lelaki yang hilang gara-gara takut selepas terserempak dengan polis yang sedang melakukan rondaan pada Isnin di Kampung Nelayan, Tok Bali, di sini selamat ditemukan tanpa pakaian dan bergayut pada pokok di kawasan paya di belakang kawasan perumahan itu.

Mangsa, Ahmad Zul Mukhriz Zakaria, 22, ditemukan dalam keadaan lemah pada jam 8.15 malam Rabu selepas penduduk terdengar jeritan dari arah hutan paya di belakang Perumahan Nelayan Tok Bali.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, pada jam 8.05 malam seorang penduduk telah terdengar suara orang meminta bantuan dari arah paya berhampiran dengan lokasi mangsa dikhuatiri hilang.

"Sejurus mendengar teriakan itu, individu tersebut terus memberitahu bapa mangsa. Bapa mangsa bersama penduduk kampung telah pergi ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

"Pada jam 8.15 malam, mangsa telah dijumpai sedang berpaut pada sebatang pokok dalam keadaan tidak memakai pakaian dan berada dalam keadaan lemah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, semasa ditemukan terdapat kesan calar di seluruh badan mangsa dan kaki dalam keadaan berdarah serta pucat disebabkan terlalu lama berada di dalam air.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa balik ke rumah sebelum dibawa ke Hospital Tengku Anis, di sini untuk rawatan lanjut.

Ediansha berkata, mangsa berada dalam keadaan stabil, masih boleh bercakap dan mengingati kejadian tersebut dari awal.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!