2,844 mangsa banjir di Selangor lega terima BWI

Proses permohonan bantuan hanya mengambil masa sekitar 15 minit untuk disiapkan bagi seorang pemohon.
Proses permohonan bantuan hanya mengambil masa sekitar 15 minit untuk disiapkan bagi seorang pemohon.
A
A
A

SHAH ALAM - Penerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) Selangor yang terkesan akibat banjir pada Disember lalu lega menerima sumbangan tersebut bagi meringankan beban mereka.

Seramai 2,844 ketua isu rumah menerima bantuan wang tunai sebanyak RM2,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri di tiga kawasan di Selangor iaitu Taman Sri Muda, Seksyen 25, Kampung Bukit Lanchong, Seksyen 28, di Shah Alam dan Kampung Bukit Changgang, Dengkil, pada Selasa.

Tinjauan Sinar Harian di Dewan Azalea, Taman Sri Muda, Seksyen 25 mendapati orang ramai mula beratur untuk mendapatkan wang bantuan bermula jam 7.30 pagi.

Pegawai Daerah Klang, Mohd Faizal Abdul Raji berkata, sebanyak 90.6 peratus daripada 1,500 ketua isi rumah yang menerima BWI hadir ke dewan tersebut setakat jam 12 tengah hari.

Suasana di luar Dewan Azalea, Seksyen 25 yang mula menerima kehadiran penduduk bermula jam 7.30 pagi.
Suasana di luar Dewan Azalea, Seksyen 25 yang mula menerima kehadiran penduduk bermula jam 7.30 pagi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Klang berkata, seramai 62 petugas dari kakitangan Unit Penyelarasan Pelaksana (ICU) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang bertugas untuk agihan bantuan.

"Pihak kami juga bergerak ke tempat-tempat lain untuk agihkan bantuan. Penerima akan mendapat mesej menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Artikel Berkaitan:

"Namun jika mereka tidak hadir, pihak kami akan hubungi mereka melalui panggilan telefon untuk mereka ambil bantuan tersebut di PDT Klang," katanya ditemui media.

Sementara itu, Dewan Kenanga, Seksyen 28 di sini, mula dibanjiri penerima BWI seawal jam 3.30 petang.

Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar berkata, pihaknya telah melaksanakan pemberian BWI kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Bukti Lanchong, Seksyen 28 sejak 28 Disember lalu.

Ujarnya, mangsa-mangsa banjir di sini turut menerima sumbangan bantuan barangan keperluan asas yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi ICU sebanyak RM2,500, selain BWI dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

"Sumbangan pembelian barangan keperluan asas ini adalah sesi pertama kali yang diberikan di daerah Petaling.

"Buat masa ini, Kerajaan Selangor menetapkan tarikh akhir menerima permohonan bantuan pada 31 Januari ini dan agihan bantuan tetap akan diteruskan tertakluk kepada peruntukan yang diberi oleh kerajaan negeri," katanya.

Terharu

Norafeezah (kanan) bersama ibunya, Saudah Mat Yusop, 73.
Norafeezah (kanan) bersama ibunya, Saudah Mat Yusop, 73.

Penerima, Norafeezah Sairi, 39, berkata, proses permohonan bantuan berjalan lancar dan hanya mengambil masa seminggu selepas ia dihantar sebelum dihubungi oleh pihak PDT Petaling.

Dia yang bekerja sebagai pemandu syarikat penghantaran akan menggunakan wang berkenaan untuk membeli barangan keperluan asas dan perkakas elektrik yang rosak.

"Anggaran kerugian hampir RM50,000, siling rumah musnah kerana guna siling kapur. Saya bersyukur dengan bantuan ini, dapatlah meringankan beban dan membeli apa-apa barang yang patut," katanya.

Mangsa lain, Mat Said Sudin, 63, kerugian sekitar RM100,000 meliputi kerosakan rumah, harta benda dan kelengkapan katering.

Beliau yang menerima wang bantuan sebanyak RM4,500 ini akan membaikpulih rumah dan membeli perkakas katering baharu.

"Saya tak sempat selamatkan apa-apa selain daripada dokumen penting seperti surat beranak dan kad pengenalan. Sejak 20 tahun di sini, ini kali pertama banjir berlaku seteruk ini," katanya.

Ganti peralatan

Sementara itu di Dengkil, seorang penduduk di Kampung Bukit Changgang, Nur Fazreen Mohd Zamil, 31, menyifatkan jumlah bantuan diterima dapat meringankan bebanannya untuk menggantikan barang keperluan rumah yang rosak.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, kejadian banjir yang berlaku sebanyak dua kali pada Disember lalu telah merosakkan barangan elektrik, perabot termasuk kabinet dapur rumahnya.

“Dengan bantuan ini dapatlah kami membeli barang keperluan yang baharu,” katanya ketika ditemui di pusat pemberian bantuan banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang.

Beliau dan penduduk terjejas menerima bantuan yang diberikan melalui Kerajaan Persekutuan meliputi BWI berjumlah RM1,000 dan BPBK berjumlah RM2,500.

Bagi Mohd Kamar Isnin, 57, meskipun tahap kerosakan harta bendanya cuma sekitar 40 peratus, namun pendapatannya dengan bekerja sendiri tidak cukup untuk menampung kos kerugian yang dihadapi.

“Saya akan cuba baiki mana yang boleh. Barangan lain seperti katil dan tilam saya akan beli menggunakan duit sumbangan ini.

“Kebanyakan barangan perabot yang rosak adalah jenis berat dan tidak sempat untuk diselamatkan,” katanya yang telah menetap di Kampung Bukit Changgang sejak lahir.

Menurutnya, kejadian banjir baru-baru ini adalah yang kedua berlaku di kawasan tersebut selepas kejadian pertama pada tahun 1971.

Reaksi penduduk

Mohd Zakri
Mohd Zakri

“Saya akan gunakan wang ini untuk beli keperluan sekolah anak. Saya belum bercadang untuk membeli barangan eletrik kerana bimbang baniir berulang.” - Juruteknik, Mohd Zakri Zainal, 40

Noor Syakilla
Noor Syakilla

“Tak sangka proses permohonan dan agihan selesai dalam tempoh seminggu lebih sahaja. Hari ini, saya hanya ambil masa 10 minit untuk terima bantuan.” - Kerani, Noor Syakilla Semmin, 33

 Pang Lu Tan
Pang Lu Tan

"Proses untuk mendapatkan wang sumbangan di sini berjalan lancar. Saya bercadang beli barangan elektrik dan baiki rumah dengan wang RM2,000 ini.” - Pang Lu Tan, 72

Aldrin
Aldrin

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kerana inilah bantuan yang kami harapkan dan tunggu selama ini.” - Aldrin Bulkin, 53

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!