TLDM, Tentera Laut Jerman perkukuh kerjasama

TLDM buat pertama kalinya melaksanakan PASSEX bersama TLJ di perairan Selat Melaka pada Rabu.
TLDM buat pertama kalinya melaksanakan PASSEX bersama TLJ di perairan Selat Melaka pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencipta sejarah baharu apabila buat pertama kalinya menjalankan Passage Exercise (PASSEX) bersama Tentera Laut Jerman (TLJ) di perairan Selat Melaka pada Rabu.

Dalam satu kenyataan, TLDM berkata, objektif PASSEX adalah untuk memperkasakan kebolehoperasian melalui kaedah perkongsian idea serta kepakaran di lapangan.

Menurutnya, kedua-dua angkatan laut itu mempamerkan komítmen dan kesefahaman yang jitu dengan TLDM melibatkan tujuh asetnya iaitu Kapal Diraja (KD) Sri Inderasakti, KD Jebat, KD Lekir, KD Laksamana Hang Nadim, KD Gempita, KD Sundang serta helikopter Super Lynx.

TLJ pula, katanya, memperagakan dua buah aset iaitu kapal frigat FGS Bayern serta helikopter Sea Lynx.

“Turut terlibat menjayakan latihan adalah Fast Combat Boat TLDM. Objektif latihan diterjemahkan melalui beberapa siri latihan di laut meliputi manuvra taktikal, pendaratan helikopter dan ‘sail past’.

“Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Aset TLJ sebelum ini melaksanakan misi penugasan pengawasan keselamatan maritim di sekitar perairan indo-Pasifik bersama gabungan aset tentera laut sahabat dari Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Jepun dan Korea Selatan.

Aset TLJ tersebut seterusnya dirancang melanjutkan pelayaran ke Sri Lanka dan India sebelum meneruskan pelayaran pulang ke negara asal pada Februari depan selepas selesai pelaksanaan misi pengawasan selama tempoh hampir enam bulan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, TLDM berkata, pasukan ketenteraan itu akan terus memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut negara sahabat.

Katanya, ia dalam memacu ketersediaan bagi melindungi dan mempertahankan kepentingan maritim negara pada sebilang masa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!