[VIDEO] JKNJ siasat dakwaan warga emas berdiri lama di PPV

Video tular memaparkan warga emas terpaksa berdiri dan menunggu lama di sebuah PPV di Pekan Nanas, Pontian.
Video tular memaparkan warga emas terpaksa berdiri dan menunggu lama di sebuah PPV di Pekan Nanas, Pontian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menjalankan siasatan berhubung dakwaan warga emas terpaksa berdiri dan menunggu lama ketika hendak mendapatkan suntikan dos penggalak di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di Pekan Nanas, Pontian.

Pengarahnya, Datuk Dr Aman Rabu berkata, kejadian yang tular di media sosial itu sudah dimaklumkan kepada pihak swasta yang mengendalikan PPV tersebut agar penambahbaikan dapat dilakukan.

"JKNJ menyiasat isu yang tular berkenaan dan akan memaklumkan pengendali PPV itu iaitu Protect Health Corporation supaya mengambil tindakan segera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, tular video berdurasi lapan dan 14 saat memaparkan keadaan orang ramai terutama warga emas terpaksa berdiri dan menunggu lama sebelum dibenarkan memasuki PPV Taman Sri Sentosa di Pekan Nanas, Pontian.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum mengenai insiden yang tular itu.

Beliau berkata, pihak Parlimen Tanjung Piai sebelum ini ada berbincang dengan pengurusan PPV terbabit bagi mengenal pasti bantuan yang boleh dihulurkan untuk meningkatkan lagi kemudahan.

"Parlimen Tanjung Piai akan mengenal pasti bantuan yang diperlukan bagi memastikan insiden tular itu tidak berulang. Ini termasuk membantu menyediakan lebih ramai sukarelawan dan kemudahan seperti kerusi dan khemah di luar.

"Selain itu, orang awam yang mendapat temu janji di PPV terbabit perlu mematuhi masa ditetapkan dan tidak hadir terlalu awal," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!