Siapalah kita tanpa wanita
BIJAK sungguh guru saya. Bagi memastikan pelajarnya petah berhujah, beliau telah menganjur satu debat bertajuk “Wanita lebih baik daripada lelaki”. Apa lagi, riuh-rendah kami sekelas kerana masing-masing cuba menyampuk, menyokong dan membantah hujah-hujah yang dikemukakan dalam perdebatan tersebut.
Panas sungguh suasana perdebatan, sehinggakan ada yang tidak bertegur sapa di antara pelajar lelaki dan perempuan kerana kecil hati dengan hujah-hujah yang dikemukakan oleh pendebat. Namun, kerana kebijaksanaan guru, tiada pemenang diumumkan. Sebaliknya, apabila guru merumuskan bahawa wanita adalah pelengkap kepada lelaki telah menceriakan semula kelas kami. Terima kasih cikgu kerana mendidik kami untuk menghormati wanita semenjak di bangku sekolah lagi.
Sebetulnya, hal ehwal berkaitan dengan wanita masih lagi menimbulkan polemik sehingga hari ini. Ada negara yang terlalu prihatin dan memandang tinggi kaum wanita. Namun ada juga negara yang masih terkial-kial untuk menjaga dan melindungi wanita. Alhamdulillah, sehingga kini negara kita telah berjaya memartabatkan wanita dengan begitu baik sekali.
Pun begitu masih lagi terdapat beberapa lompang yang perlu ditambah baik. Sebagaimana sedia maklum, wanita ini amat berbeza sifatnya dengan lelaki baik dari segi fizikal dan juga perasaannya. Lantaran itu, cara kita mendidik serta berurusan dengan wanita adalah berbeza dengan lelaki kerana mereka adalah bersifat lembut, mudah tersentuh, sopan dan beradab, cukup bersabar serta mempunyai daya tahan yang tinggi. Selain itu, mereka juga adalah pelindung, pendamai dan juga pemujuk. Namun, jika hak mereka tercabar boleh menjadi seorang yang garang seperti singa kelaparan.
Cabaran paling besar pada hari ini, adalah untuk mengekalkan ciri-ciri kewanitaan itu sendiri. Hari ini, semakin ramai wanita yang mahu bebas dan lebih suka bersifat kasar seperti lelaki. Sifat lembut dan tegas sudah kurang diminati, sebaliknya suka menonjol watak yang keras dan kasar. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk bersama-sama menangani cabaran ini.
Kita tidak boleh biarkan sikap sebegini merebak ke seluruh peringkat masyarakat. Jika kita gagal untuk mendidik semula wanita kepada ciri-ciri mereka yang asal, sudah tentu kita akan melahirkan masyarakat yang tidak beradab pada jangkamasa yang panjang kerana mereka sudah tidak berwibawa untuk mendidik generasi pada masa hadapan.
Hakikatnya, wanita adalah pendamping dan pelengkap kepada lelaki. Justeru, pihak lelaki perlu menghormati dan menjaga maruah wanita sepenuhnya selaras dengan firman ALLAH, “Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang ALLAH hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (QS An-Nisa, 4-19).
Sebetulnya, adalah dayus bagi lelaki yang menzalimi wanita. Malah mereka juga boleh dipanggil pengecut jika hanya pandai berlaku kasar dengan wanita. Namun begitu, gejala menzalimi serta bertindak kasar terhadap wanita masih lagi menunjukkan peningkatan. Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 57,519 kes keganasan terhadap wanita telah dilaporkan sejak 2010 hingga Mac 2017. Manakala 40 peratus daripada jumlah kes tersebut melibatkan keganasan rumah tangga.
Sebetulnya, ribuan lagi wanita yang menderita secara senyap kerana sudah pasrah menjadi mangsa ‘kegilaan’ lelaki. Apa yang mereka lakukan hanyalah berserah kepada ALLAH semata-mata. Begitu pun, ramai yang sudah berputus asa kerana terlalu lama menunggu keadilan daripada Maha Esa. Berkaitan hal ini, terdapat Hadis Nabi SAW daripada Khabbab bin Al-Arat, dia berkata:
“Kami mengadu kepada Rasulullah SAW ketika baginda sedang berbantalkan kain selimut baginda di bawah naungan Kaabah, ‘Tidakkah baginda memohon pertolongan bagi kami? Tidakkah baginda berdoa memohon kepada ALLAH untuk kami?, Baginda bersabda, ‘ada seorang lelaki daripada umat sebelum kamu, lantas digalikan lubang untuknya dan diletakkan di dalamnya, lalu diambil gergaji kemudian diletakkan gergaji itu di kepalanya lalu dibelah menjadi dua bahagian. Namun hal itu tidak menghalangnya daripada agamanya. Tulang dan urat di bawah dagingnya disisir dengan sisir besi, namun tidak menghalangnya daripada agamanya. Demi ALLAH, sungguh urusan (Islam) ini akan sempurna hingga ada seorang yang menunggang kuda berjalan daripada Sana’a menuju Hadramaut, tidak ada yang ditakutinya melainkan ALLAH atau kambing tidak khuatir terhadap serigala. Akan tetapi kamu sangat tergesa-gesa.” (HR Al-Bukhari).
Ingatlah!, sungguh luas aturan ALLAH. Kita tidak perlu tergesa-gesa menuntut keadilan kerana ALLAH lebih mengetahui balasan yang selayaknya untuk kita dan juga mereka.
* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!