Ops Benteng di bawah NTF tamat Jun ini: Hamzah
PUTRAJAYA - Pengoperasian Operasi Benteng (Ops Benteng) di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) akan ditamatkan pada Jun ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, segala pelaksanaan dan perancangan baharu berhubung operasi berkenaan akan kembali diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan seterusnya.
"Inilah sebabnya saya perlu maklumkan kepada semua supaya kami akan lebih bersedia kerana buat masa ini pelbagai kementerian telah terlibat bersama KDN dalam NTF.
“Setelah Ops Benteng diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini berakhir, ia akan kembali semula kepada kami (KDN) dan usaha memastikan Ops Benteng sentiasa ke hadapan akan dibuat," katanya dalam sidang akhbar Majlis Perhimpunan Bulanan KDN dan Amanat Tahun Baharu 2022 di Kompleks KDN di sini.
Hamzah berkata, bukan sesuatu yang baharu untuk KDN kembali mengambil alih hal berkaitan pengoperasian Ops Benteng berkenaan.
Menurutnya, walaupun NTF bakal berakhir pada Jun ini, operasi Gasak Laut dan Darat akan diaktifkan semula bertujuan mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan.
“Selain itu, bagi memperkasakan kawasan perairan Sabah inisiatif pelantikan polis bantuan oleh pengusaha resort akan dilaksanakan. Usaha ini dilihat dapat membantu penguatkuasaan di lokaliti dan meningkatkan rasa selamat penduduk setempat.
“Bagi tujuan ini, sesi libat urus akan dilaksanakan bersama pengusaha resort bagi memastikan inisiatif ini dijalankan dengan sebaiknya,” katanya.
Pada Disember lepas, Bernama melaporkan, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyatakan bahawa keputusan mengekalkan NTF yang diterajui pasukan keselamatannya itu akan diketahui pada pertengahan tahun ini.
Menurut Affendi, NTF ditubuhkan secara ad hoc dan terbukti keberkesanannya dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin menerusi Ops Benteng sejak negara dilanda pandemik Covid-19.
Sementara itu, mengulas desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Hamzah berkata, hanya pihak bertanggungjawab sahaja yang akan membuat ketetapan berhubung bila ia akan diadakan.
"Desas-desus ini bukan membabitkan Johor sahaja malah ada juga desas-desus mengenai Pilihan Raya Umum (PRU).
"Saya selaku Setiausaha Agung Parti Bersatu, sentiasa mengadakan mesyuarat dan memastikan supaya rakyat dalam negara tahu siapa untuk mereka pilih serta memilih kepimpinan yang lebih baik bagi kepentingan negara," katanya.
Sebelum ini, desas-desus PRN Johor diadakan dalam masa terdekat bertiup kencang, berikutan kerajaan negeri itu kini hanya mempunyai majoriti kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang yang memiliki 27 kerusi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!