Penternak ikan sangkar buntu ancaman memerang

Wan Razak (kiri) memasang jaring di bahagian atas sangkar ikan namun masih tidak dapat menghalang serangan memerang.
Wan Razak (kiri) memasang jaring di bahagian atas sangkar ikan namun masih tidak dapat menghalang serangan memerang.
A
A
A

TUMPAT - Seramai 15 penternak ikan sangkar di Sungai Geting di sini buntu akibat ancaman memerang liar yang memakan ternakan mereka hingga mengalami kerugian berterusan sejak lima tahun kebelakangan ini.

Seorang penternak, Wan Razak Wan Hassan, 50, berkata, kumpulan memerang yang asalnya hidup di kawasan itu datang memakan ikan ternakan mereka yang sudah diusahakan selama 20 tahun.

“Memerang ini memang asal ada di sini tetapi populasinya semakin bertambah akhir-akhir ini dan makin ganas menyerang serta memakan ikan-ikan dalam sangkar.

“Pelbagai cara sudah diusahakan termasuk membina tembok simen setinggi 4.5 meter di dalam sungai dan memasang pagar elektrik tetapi tetap gagal menangani serangan memerang,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Menurutnya, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga sudah sedia maklum berhubung masalah itu dan kerap turun membantu para penternak.

“Perhilitan pernah datang berkhemah di sini bersama penternak dan memasang perangkap, tetapi memerang masih lagi datang memakan hasil ternakan.

“Lebih berbelas ekor memerang datang menggorek tanah dalam satu masa dan dapat tembus ke kawasan sangkar tidak mengira waktu walaupun kami berkawal di kawasan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai cara dilakukan penternak ikan sangkar di Sungai Geting untuk tangani ancaman memerang namun masih tidak berhasil. - Foto internet
Pelbagai cara dilakukan penternak ikan sangkar di Sungai Geting untuk tangani ancaman memerang namun masih tidak berhasil. - Foto internet

Seorang lagi penternak, Mohd Rafi Mohamad, 42, berkata, ternakan termasuk siakap, kerapu hibrid dan talapia dimakan oleh memerang hingga mereka mengalami kerugian berterusan.

“Misalnya hari ini penternak memasukkan anak-anak ikan bernilai RM5,000, esok datang seekor pun tidak ada kerana dimakan memerang.

“Keadaan amat terdesak hingga ada yang guna cara tidak masuk akal seperti melumurkan lemak ular sawa pada lantai sangkar dan menggunakan khidmat bomoh untuk menghalau memerang, namun tetap gagal,” katanya.

Tambahnya, tiada ikhtiar lain ketika ini kecuali bermalam di pondok yang dibina di kawasan sangkar dan rondaan secara kerap tanpa mengira waktu.

“Saya sendiri membuat inisiatif menutup permukaan sangkar dengan kayu lapis, namun memerang serang bahagian bawah sangkar pula dengan menggigit jaring menyebabkan kami buntu untuk mencari cara lain menghalang serangan memerang ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Tumpat, Mohamed Shaam Abd Kadir berharap ada pihak yang membantu untuk meringankan kerugian yang ditanggung penternak kerana kerugian mereka mencecah ratusan ribu ringgit.

“Mereka memerlukan bantuan seperti benih ikan agar dapat menggantikan ikan-ikan yang sudah banyak dimakan oleh memerang.

“Perhilitan sendiri sudah melakukan pelbagai cara menyebabkan kebuntuan akibat keadaan ini yang berterusan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!