Isu KWSP: UMNO, PKR sepentas malam ini
SHAH ALAM - Dua pemimpin politik terkenal tanah air bakal bertemu malam ini untuk membincangkan isu pengeluaran one-off RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi Berani Semuka.
Program terbitan Sinar Harian itu bakal menampilkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang akan membawa hujah-hujah mereka berdasarkan tajuk perbincangan, ‘KWSP: Lega sekarang, susah kemudian?’.
Berani Semuka kali ini dijangka mendapat perhatian rakyat Malaysia kerana isu tersebut hangat dibincangkan sejak Malaysia dilanda pandemik Covid-19 sehinggalah sebilangan mereka ditimpa ujian banjir besar di penghujung tahun 2021.
Dr Asyraf sebelum ini dikenali sebagai pemimpin yang lantang memperjuangkan hak rakyat untuk mengeluarkan wang caruman KWSP mereka bagi menampung kehidupan selepas dilanda kesukaran terutamanya sepanjang pandemik Covid-19.
Manakala, Hassan pula sebelum ini pernah membidas desakan pemimpin UMNO dan mengeluarkan kenyataan bahawa pengeluaran KWSP memperjudikan masa depan wang pencen pekerja swasta.
Jangan lupa saksikan Berani Semuka jam 8.30 malam ini di semua platform media sosial Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!