1,389 tokan dadah diberkas di Terengganu

 Tium Ming Kung
Tium Ming Kung
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu merekodkan peningkatan tangkapan melibatkan 1,389 tokan dadah sepanjang tahun lalu.

Ketua JSJN Terengganu, Superintendan Tium Ming Kung berkata, jumlah itu melibatkan individu yang ditahan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu meningkat 20.68 peratus berbanding tempoh sama pada 2020.

"Tangkapan individu bagi kategori bekalan dadah meningkat seramai 238 orang daripada 1,151 pada tahun sebelumnya.

"Peningkatan itu menyebabkan tangkapan individu bagi kategori memiliki dadah di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama berkurangan 4.81 peratus (122 orang) kepada 2,417 berbanding 2,539 pada 2020," katanya dalam kenyataan kepada pemberita pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 6,686 penagih ditahan sepanjang tahun lalu iaitu menurun 7.24 peratus (522 orang) berbanding 7,208 individu pada 2020.

"Penurunan tangkapan penagihan dadah disebabkan tindakan agresif menerusi Operasi Jihad Dadah 2.0 ke atas penagih-penagih tegar (hardcore) yang menjadi punca kewujudan 'sarang' penagihan dadah.

"Tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952 telah diambil ke atas 'hardcore' di mana seramai 487 telah ditangkap pada 2021 berbanding seramai 356 individu ditahan pada 2020," katanya.

Ming Kung berkata, pihaknya mengenalpasti tiga jenis dadah yang mendapat permintaan tinggi iaitu syabu, heroin dan pil yaba.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejumlah 16,910 gram dadah jenis syabu, 4,914g (heroin) dan 14,662g (pil yaba) telah dirampas sepanjang operasi dijalankan tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah sitaan harta melibatkan jenayah itu bernilai RM3.07 juta sepanjang tahun lalu iaitu menurun 9.08 peratus daripada RM3.38 juta pada 2020.

"Nilai sitaan melibatkan RM1.2 juta (kereta), RM557,000 (motosikal), RM679,587 (wang dalam akaun bank), RM427,214 (wang tunai), RM106,504 (barang kemas), RM45,000 (lori) serta RM43,950 bagi lain-lain harta.

"Harta-harta yang diarahkan mahkamah untuk dilucuthak kepada kerajaan pada tahun 2021 bernilai RM990,271," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!