[VIDEO] Annuar beri bayangan Ismail Sabri bakal terajui UMNO

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal menerajui UMNO pada masa akan datang.

Annuar dalam laman Facebooknya pada Khamis berkata, dalam UMNO, seseorang yang diangkat sebagai Perdana Menteri akan seterusnya diberi 'endorsement' oleh parti untuk mengambil alih kepimpinan parti sebagai Presiden.

Menurutnya, secara tidak langsung tradisi parti itu yang mengekalkan Presiden sebagai Perdana Menteri akan terus dipertahankan.

"Mesyuarat MKT jelas membuat 'endorsement' bahawa DSIS (Datuk Seri Ismail Sabri) akan terus memimpin negara sehingga tamat tempoh penggal Parlimen ke-14 pada tahun 2023.

"Bukan itu saja, malah MKT turut menunjukkan isyarat bahawa YAB DSIS adalah 'posterboy' PRU15, sekali gus merupakan calon PM daripada UMNO, pasca PRU15 nanti," katanya.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pemakluman Setiausaha Agung UMNO untuk memperkasakan kepimpinan dan kedudukan Ismail Sabri adalah satu manifestasi kebijaksanaan MKT.

"Saya percaya inilah sebahagian daripada sumber kekuatan parti. Peralihan kepimpinan utama sentiasa berlaku secara berhemah dan penuh kebijaksanaan.

"Yang mengganti terus memperkasa parti, yang diganti pula tetap dipandang tinggi. Bak kata pepatah Melayu 'patah tumbuh, hilang berganti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Annuar turut memaklumkan, UMNO akan menyegerakan pemilihan MKT parti itu yang sepatutnya tamat tempoh memegang jawatan tahun lalu, namun ditangguhkan maksimum 18 bulan akibat penularan Covid-19.

Beliau percaya, pemilihan jawatan dalam parti sentiasa menghasilkan kepimpinan mantap serta saf pimpinan yang mempunyai 'legitimacy' lebih kukuh menerusi mandat akar umbi.

"Meskipun pemilihan dibenarkan dalam parti, tidak semestinya akan berlaku perebutan, malah satu daripada amalan yang sering dilakukan dalam semua peringkat adalah 'baton' kepimpinan bertukar tangan secara harmonis, konsensus dan penuh semangat kesetiakawanan serta mendahulukan kepentingan perjuangan parti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!