Isu taksiran ganti rugi Mohd Ezra, JAIS selesai
KUALA LUMPUR - Mohd Ezra Mohd Zaid dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta lima yang lain telah mencapai persetujuan berhubung taksiran ganti rugi yang diperoleh Pengarah ZI Publications Sdn Bhd berikutan pendakwaan salah yang dilakukan oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor terhadapnya, pada 2013.
Perkara itu dimaklumkan peguam Fahri Azzat yang mewakili Mohd Ezra ketika dihubungi pemberita selepas prosiding secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada Khamis.
“Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan tuntutan tersebut (taksiran), namun terma-terma penyelesaian yang terkandung di dalam penghakiman persetujuan tidak dapat didedahkan.
“Mahkamah hari ini (Khamis) telah merekodkan penghakiman persetujuan kedua-dua belah pihak untuk isu tuntutan itu diselesaikan,” kata peguam itu.
Pada 29 Mei 2012, JAIS menyerbu premis perniagaan ZI Publications serta merampas 180 buku bertajuk ‘ALLAH, Kebebasan dan Cinta’ karya penulis warga Kanada, Irshad Manji dan Mohd Ezra turut ditahan.
ZI Publication dan Mohd Ezra memfailkan semakan kehakiman pada 9 Julai 2012 dan menamakan JAIS, Ketua pengarahnya, kerajaan negeri Selangor, Ketua Pegawai Penguat kuasa JAIS, Ketua Pendakwa Syarie Selangor dan kerajaan Malaysia sebagai responden, untuk mencabar serbuan yang dilakukan JAIS dan pada 7 Mac 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka.
Pada 25 September 2019, Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan mereka kemudian membatalkan keputusan Ketua Pendakwa Syarie Selangor untuk mendakwa Mohd Ezra di Mahkamah Syariah atas pertuduhan menerbit, mengedar dan memiliki buku terjemahan penulis kontroversi itu, yang dianggap bertentangan dengan undang-undang Islam.
Mahkamah Rayuan turut memerintahkan taksiran ganti rugi dibayar kepada Mohd Ezra kerana tekanan jiwa, penderitaan dan keseksaan yang dialami beliau berikutan tindakan salah laku JAIS terhadapnya.
Pada 29 September 2020, pihak pendakwaan syariah Selangor tidak meneruskan kes ke atas Mohd Ezra susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Pada 17 Disember 2020, Mohd Ezra dibebaskan daripada pertuduhan menerbitkan buku yang didakwa bertentangan dengan hukum syarak selepas Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya menolak permohonan pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskannya daripada pertuduhan itu.
Mohd Ezra didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 2013 atas pertuduhan menerbitkan buku Irshad Manji di premis perniagaan ZI Publications, B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3, di sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!