Terbuka India: Tze Yong bangkit dari ketinggalan untuk mara ke suku akhir

Tze Yong. Foto Persatuan Badminton Malaysia
Tze Yong. Foto Persatuan Badminton Malaysia
A
A
A

[DIKEMASKINI] PEMAIN perseorangan lelaki negara yang sedang meningkat naik, Ng Tze Yong bangkit dari ketinggalan untuk melangkah ke suku akhir selepas menyingkirkan Lucas Claerbout dari Perancis pada pusingan kedua Terbuka India 2022 pada Khamis.

Selepas ketinggalan dalam set pertama dengan defisit dua mata, 20-22, pemain bukan pilihan, Tze Yong mempamerkan aksi yang lebih mantap apabila memenangi set seterusnya, 21-15, 21-18 untuk mengatur pertemuan menentang pemenang antara Nhat Nguyen dari Ireland atau pemain tuan rumah, Rahul Yadav Chittaboina.

Bagaimanapun pemain muda negara, Soong Joo Ven gagal mencipta kejutan terhadap juara dunia 2021, Loh Kean Yew apabila kecundang 12-21, 12-21 di tangan pemain Singapura itu dalam kejohanan yang berlangsung di Dewan Tertutup KD Jadhav, New Delhi.

Sementara itu, ketiga-tiga wakil beregu campuran Malaysia iaitu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Chan Peng Soon-Valeree Siow dan Chen Teng Jie-Peck Yen Wei berjaya melepasi halangan kedua untuk mara ke pusingan seterusnya.

Pilihan utama Kian Meng-Pei Jing menewaskan gandingan India, Siddarth Jakhar-Megha Morchana Bora, 21-6, 21-11 untuk berdepan pasangan Rusia, Konstantin Abramov-Anastasiia Akchurina selepas lawan mereka, Dhruv Kapila-Reddy N Sikki dari India menarik diri.

Pemain beregu campuran negara yang baru dibentuk, Peng Soon-Valeree, pilihan kelima, terlalu kuat untuk pasangan India, Kasish Sharma-Saruni Sharma selepas mereka mencatat kemenangan selesa 21-6, 21-8 dan seterusnya akan menentang pilihan kedua, Rodion Alimov-Alina Davletova.

Terdahulu, pasangan Rusia itu menyingkirkan pasangan tuan rumah, Ayush Makhija-Deeksha Choudhary, 21-6, 21-7.

Teng Jie-Yen Wei memperoleh ‘pas percuma’ ke suku akhir selepas lawan mereka, Sai Pratheek K-Gayatri Gopichand Pullela menarik dari daripada kejohanan itu.

Artikel Berkaitan:

Pilihan ketiga itu akan merebut slot ke separuh akhir menentang pilihan kelapan, Venkat Gaurav Prasad-Juhi Dewangan apabila pasangan India itu menewaskan rakan senegara mereka, Sanjai Srivatsa Dhanraj-Pooja Dandu, 21-16, 21-23, 21-19.

Dalam pada itu, beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tidak perlu mengeluarkan peluh selepas berjaya melepasi pusingan kedua apabila beregu India, Utkarsh Arora-Akshan Shetty, menarik diri.

Pasangan India, Ishaan Batnagar-Sai Pratheek K yang juga memperoleh kemenangan percuma daripada lawan mereka, M. R. Arjun-Dhruv Kapilla bakal berdepan Yew Sin-Ee Yi, yang menduduki ranking 11 terbaik dunia, dalam pertembungan di suku akhir.

Satu-satunya harapan Malaysia dalam kategori beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sen meneruskan aksi cemerlang apabila menyingkirkan pasangan India-Amerika Syarikat, Srivedya Gurazada-Ishika Jaiswal, 21-15, 21-15.

Vivian-Chiew Sen, pilihan kelima, akan menentang pilihan ketiga Anastasiaa Akchurina-Olga Morozova selepas pasangan Rusia itu menewaskan gandingan Anuriya Das-Sanghamitra Saikia, 21-2, 21-12.

Sementara itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataan pada Khamis mengesahkan tujuh pemain telah dikeluarkan daripada kejohanan itu selepas disahkan positif Covid-19.

Tanpa menyenaraikan pemain berkenaan, BWF memberitahu bahawa mereka yang dijangkiti tidak akan diganti dalam undian utama dan lawan mereka akan diberi kemenangan percuma ke pusingan seterusnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!