Arteta puji semangat juang Arsenal
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta memuji semangat juang yang ditunjukkan anak buahnya selepas berjaya bertahan lebih sejam beraksi dengan kekurangan seorang pemain apabila berjaya mengikat Liverpool tanpa jaringan pada separuh akhir pertama Piala Liga di Anfield awal pagi tadi.
The Gunners terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Granit Xhaka dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Michael Oliver akibat mengasari Diogo Jota ketika permainan hanya berusia 24 minit.
"Saya sangat berbangga dengan apa yang dilakukan oleh pasukan ketika bermain di sini (Anfield) menentang pasukan yang hebat ketika mereka hanya bermain dengan 10 pemain dalam tempoh 70 minit.
"Sebelum perlawanan saya ada berkata kepada pasukan apabila anda datang ke stadium seperti ini, saya akan memilih pemain yang gembira untuk pergi berperang kerana mereka akan mengalami saat-saat sukar dan menderita apabila kalah.
"Apabila anda bermain dengan semangat berjuang dan persaudaraan yang tinggi, akhirnya anda akan mendapat ganjaran. Itulah yang berlaku hari ini," katanya.
Dalam pada itu Arteta berkata, dia tidak melihat Arsenal sebagai pasukan pilihan untuk ke perlawanan akhir apabila separuh akhir kedua Piala Liga dijadual berlangsung di Stadium Emirates minggu hadapan.
“Saya tidak melihat bermain di laman sendiri sebagai satu kelebihan untuk layak ke perlawanan akhir.
"Apa yang penting ketika ini kami memerlukan semua orang kembali dan keadaan cergas dan sangat memerlukan suasana yang hebat di Emirates," katanya.
Bagi pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, dia nyata tertekan dengan keputusan yang dijelmakan pasukannya pada perlawanan ini.
"Kami lebih suka kalau dapat menjaringkan gol daripada pasukan lawan mendapat kad merah.
"Apabila pasukan menghasilkan keputusan seri seperti ini nampaknya kami lebih tertekan. Tetapi ini adalah perlawanan timbal balik.
"Ketika seri tanpa jaringan pada separuh masa, saya menganggap kami seperti tiada peluang tetapi pasukan terus memberikan aksi terbaik," kata Klopp.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!