Tak sempat jual 200kg karkas babi hutan

Karkas babi hutan yang ditemui di belakang kenderaan pacuan empat roda berkenaan.
Karkas babi hutan yang ditemui di belakang kenderaan pacuan empat roda berkenaan.
A
A
A

TANAH MERAH - Karkas babi hutan seberat 200 kilogram (kg) bernilai RM5,000 tidak sempat dipasarkan apabila dirampas Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan dalam sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu di sini pada Khamis.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, sebuah kenderaan pacuan empat roda dari Panglima Bayu ke Rantau Panjang ditahan selepas didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan pada jam 1.45 petang.

"Hasil pemeriksaan menjumpai karkas babi hutan di belakang kenderaan tersebut. Anggota kami meminta mereka mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan.

"Seterusnya karkas babi hutan berkenaan dibawa ke Martak Lubok Stol untuk pengiraan dan timbangan. Hasil timbangan mendapati, muatan karkas babi hutan yang dibawa melebihi jumlah muatan dibenarkan dalam permit pindah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua barang kes dibawa ke Balai Polis Lalang Pepuyu, Tanah Merah untuk siasatan lanjut pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, pihaknya merampas sebanyak 157 botol barangan kosmetik seludup bernilai RM2,225 di kawasan surau Jeram Perdah 2 di sini pada Khamis.

Azhari berkata, anggotanya membuat rondaan pada jam 4 pagi dan ternampak dua lelaki tidak dikenal pasti kewarganegaraannya sedang mengangkat kotak-kotak berkenaan.

"Menyedari kehadiran kami, kedua-dua lelaki tersebut melarikan diri dengan menaiki perahu ke tebing Sungai Golok Thailand.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Peraturan 18 A Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!