Bilbao mara ke perlawanan akhir Piala Super Sepanyol
ATHLETICO Bilbao mara ke perlawanan akhir Piala Super Sepanyol selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan juara La Liga, Atletico Madrid 2-1 awal pagi tadi.
Atletico terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada perlawanan tersebut selepas penjaga gol Bilbao, Unai Simon melakukan kesilapan yang berpunca daripada tandukan Joao Felix.
Tersentak dengan gol tersebut, Bilbao bangkit mengemaskan kembali corak permainan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Yeray Alvarez pada minit ke-77 sebelum Nico Williams menjaringkan gol kemenangan sembilan minit sebelum tamat perlawanan.
"Saya sangat beremosi ketika ini dan berharap selepas ini akan ada lebih banyak lagi detik gembira seperti ini yang boleh dilalui.
"Saya sangat gembira dapat melalui pengalaman hebat ini bersama abang saya Inaki serta ibu yang memeluk kami selepas tamat perlawanan.
"Ibu memberitahu yang kami layak untuk mendapatkannya. Pelukan bersama abang selepas menjaringkan adalah momen yang tidak akan saya lupakan," katanya.
Sementara itu, penjaga gol Atletico, Jan Oblak berkata, dirinya dan rakan sepasukan terkejut dengan kekalahan ini.
Katanya, kekalahan itu sukar untuk dijelaskan selepas satu ketika Atletico berjaya memimpin perlawanan tersebut.
"Sukar untuk menjelaskan kekalahan kepada Bilbao pada perlawanan ini. Kami bolos dua gol menerusi gerakan set piece.
"Malah kami juga kerap dibolosi menerusi gerakan sama musim ini. Ia berlaku lagi hari ini," kata Oblak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!