'Beli makanan, dapat pokok percuma'

Antara pelanggan yang berkunjung ke Restoran Deaf in Business (DIB), Damansara Perdana. - Foto Bernama
Antara pelanggan yang berkunjung ke Restoran Deaf in Business (DIB), Damansara Perdana. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Satu keunikan ditawarkan sebuah restoran di Damansara Perdana di sini, bukan sahaja bagi menarik lebih ramai pelanggan, malah mempromosikan budaya persekitaran hijau.

Projek komuniti dilaksanakan kumpulan Facebook Plant Swag (Swap/Gift) di Restoran Deaf in Business (DIB) bermula bulan lepas itu membolehkan pelanggan membawa pulang pelbagai jenis tumbuhan seperti pokok hiasan aloe vera (lidah buaya), golden pothos (sirih gading) dan spider plant (lelabah) sebagai tanaman angkat dengan pembelian melebihi RM10.

Pengasas kumpulan Facebook itu Evangeline Lim berkata, idea tersebut tercetus susulan terdapat lebihan pokok di rumah kalangan ahli ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac 2020 disebabkan aktiviti bertukar pokok dan program outreach tidak dapat dijalankan.

"Pada waktu itu, pertemuan secara bersemuka perlu dielakkan demi mematuhi SOP (prosedur operasi standard), jadi aktiviti penanaman pokok baharu tidak dapat diteruskan kerana ruang berkebun di balkoni penuh.

"Pada ketika itu juga ramai peniaga kecil terjejas teruk kerana Covid-19, jadi saya mendapat idea untuk membantu perniagaan mereka menerusi kolaborasi yang membolehkan pelanggan mendapat pokok sebagai hadiah percuma," katanya kepada Bernama.

Menurut Evangeline, projek komuniti diusahakan kumpulan yang mempunyai lebih 4,000 ahli aktif sejak 2018 itu antara lain bertujuan menanam rasa sayang terhadap tumbuhan dan alam sekitar sekali gus menggalakkan aktiviti berkebun di rumah dalam kalangan masyarakat.

Perunding pemasaran itu berkata, inisiatif berkenaan juga diharap dapat membentuk ekosistem yang mendorong sikap saling membantu dalam masyarakat, selain berharap dapat berkolaborasi dengan lebih banyak pihak termasuk peniaga kecil pada masa akan datang.

"Bagi kolaboratif, premis perlu ada kemudahan parkir bagi memudahkan ahli menghantar tanaman, mempunyai akses kepada cahaya matahari selain perniagaan itu menawarkan barang jualan pada harga berpatutan," katanya yang mula bekerjasama dengan sebuah kafe lain sekitar Jun 2020 sebelum berganding bahu dengan Restoran DIB pada Disember tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Pengasas kumpulan Facebook Plant Swag (Swap/Gift) di Restoran Deaf in Business (DIB) Evangeline Lim memberi penerangan mengenai pokok yang diberi percuma kepada pelanggan yang datang ke restoran tersebut yang terletak di Damansara Perdana.

Projek komuniti dilaksanakan bermula bulan lepas itu membolehkan pelanggan membawa pulang pelbagai jenis tumbuhan seperti pokok hiasan aloe vera (lidah buaya), golden pothos (sirih gading) dan spider plant (lelabah) sebagai tanaman angkat dengan pembelian melebihi RM10. - Foto Bernama
Pengasas kumpulan Facebook Plant Swag (Swap/Gift) di Restoran Deaf in Business (DIB) Evangeline Lim memberi penerangan mengenai pokok yang diberi percuma kepada pelanggan yang datang ke restoran tersebut yang terletak di Damansara Perdana.

Projek komuniti dilaksanakan bermula bulan lepas itu membolehkan pelanggan membawa pulang pelbagai jenis tumbuhan seperti pokok hiasan aloe vera (lidah buaya), golden pothos (sirih gading) dan spider plant (lelabah) sebagai tanaman angkat dengan pembelian melebihi RM10. - Foto Bernama

Bagi pelanggan Siti Noraini Tujudin, 33, inisiatif itu bukan sahaja memupuk dan mengembangkan minat terhadap aktiviti berkebun malah menjadi platform sosial untuk berkongsi minat dan menambah kenalan.

"Di sini kami boleh bertukar-tukar tanaman dengan pekebun lain, sekali gus mencambah minat dan keterujaan untuk melihat tanaman membesar dan semakin tinggi," katanya yang bekerja sebagai setiausaha pejabat.

Eksekutif Jaminan Kualiti Media Sosial Nursyahida Izzati Mohd Nuri, 27, pula tertarik untuk berkunjung bagi menyokong inisiatif hijau dan amalan hidup lestari.

"Memandangkan kita menuju ke arah persekitaran hijau, jadi saya cuba untuk turut terlibat dan menyumbang dengan menyertai program ini," katanya yang turut mencadangkan promosi lebih rancak dilaksanakan menerusi media sosial.

Sementara itu, pemilik Restoran DIB Allen Teh berkata, kerjasama bersama kumpulan itu bukan sahaja meningkatkan pendapatan perniagaannya malah menambah daya tarikan restoran yang dikendali 90 peratus pekerja orang kurang upaya (OKU) pendengaran itu.

"Seperti peniaga lain, kami juga tidak terkecuali daripada terjejas sejak Covid-19 melanda, tapi sejak menjalankan kerjasama ini pendapatan restoran bertambah dua kali ganda dan kedatangan pengunjung pada hujung minggu juga meningkat tiga kali ganda," katanya yang menganggarkan lebih 100 pokok sehari dijadikan tanaman angkat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!