480 mangsa terima rawatan saringan awal

Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

PASIR GUDANG - Seramai 480 mangsa telah mendapatkan rawatan saringan awal sehingga jam 3 petang tadi di Stadium Tertutup Pasir Gudang susulan pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal berkata, daripada jumlah itu, seramai 20 mangsa telah dirujuk ke hospital untuk rawatan susulan.

"Seramai 73 mangsa yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) juga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana, Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi.

Tambahnya, kerajaan negeri memandang serius insiden yang berlaku dan sedang melakukan kerja-kerja pembersihan yang dikawal selia oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Sungai Kim Kim.

Jelasnya, kerja-kerja pembersihan yang dikawal selia oleh JAS di Sungai Kim Kim telah dilakukan sejauh 680 meter.

"Sehingga kini pasukan Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia masih memantau kerja-kerja pembersihan yang dilakukan berterusan 24 jam oleh kontraktor yang dilantik," katanya.

Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak panik dan tidak mudah percaya kepada berita-berita yang tidak dapat dipastikan sumber dan kesahihanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, penyebaran maklumat palsu yang menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam ini terjumlah kepada kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara selama tempoh 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Penggunaan media sosial sebagai medium penularan berita palsu adalah kesalahan yang boleh diambil tindakan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 1 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua- duanya sekali," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!