Bukan bahan kimia, itu baja: Polis
PONTIAN - Polis meminta orang ramai tidak mempercayai berita yang tular di media sosial tentang sebuah premis di Kampung Parit Sikom yang dikatakan mengandungi bahan kimia.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, Jabatan Alam Sekitar ( JAS) Johor telah beberapa kali membuat pemeriksaan di premis tersebut.
Katanya, pemeriksaan itu dilakukan sejak awal tahun 2018 sehingga yang terakhir dilakukan malam kelmarin.
"Hasil semakan dan pemeriksaan JAS mendapati ia adalah bahan mentah bagi produk baja.
Namun kaedah penstoran yang tidak sempurna telah menjadi isu," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Sehubungan itu, katanya pihak JAS telah mengeluarkan arahan untuk pihak premis menjalankan kerja-kerja pembersihan sebelum premis ditutup dan berpindah ke tempat lain.
"Secara umum kerja pembersihan masih dalam proses sehingga Mei depan.
JAS telah memberi penerangan kepada masyarakat setempat pada pertemuan yang diadakan di hadapan premis semalam," katanya.
Polis juga menasihatkan orang ramai tidak bimbang dengan berita yang tular di media sosial.
Ini kerana tindakan sedang diambil oleh jabatan dan agensi terlibat dalam isu ini selain kerja-kerja pembersihan tersebut dipantau JAS dengan bantuan polis.
Terdahulu Sinar Harian hari ini, melaporkan kebimbangan penduduk tentang stor penyimpanan di Kampung Parit Intan dekat Kayu Ara Pasong yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!