Veteran UMNO pertikai kenyataan Annuar dahului keputusan MKT
SHAH ALAM - Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mempertikaikan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang memberi bayangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal dipilih sebagai Presiden parti itu.
Shahrir berkata, kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu mendahului keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Rabu.
Menurutnya, Annuar tidak hadir ke mesyuarat berkenaan namun mengeluarkan kenyataan seolah-olah mempunyai maklumat mengenai perkara tersebut.
"Sebagai pemimpin UMNO di peringkat bahagian, tentunya setiap keputusan parti ditunggu, dibaca dengan teliti supaya difahami benar-benar.
"Saya tertarik pula dengan laporan media bahawa MKT telah mengesahkan atau membuat 'endorsement' sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk jawatan Perdana Menteri semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Ia senada dengan apa yang ditulis oleh Tan Sri Annuar Musa dalam halaman Facebook miliknya.
"Hanya Tan Sri Annuar, walaupun menteri, tidak hadir di mesyuarat tersebut. Tapi, sebagai menteri yang jaga 'multimedia', kot-kot (kalau) dia mempunyai maklumat sahih tentang mesyuarat yang dia sendiri tidak menghadirinya," tulis beliau menerusi Facebook pada Jumaat.
Sementara itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, parti masih belum lagi membuat keputusan untuk memilih ‘poster boy’ untuk PRU15.
“Ada orang mendahului parti menamakan ‘poster boy’ UMNO untuk pilihan raya akan datang. Dia umum dulu, sedangkan parti belum buat keputusan,” katanya.
Jelas beliau, calon yang dipilih bagi tujuan tersebut mesti jamin kemenangan parti dalam PRU15.
“Dia dipilih kerana ketokohannya, polisinya dan pembela rakyat. Bukan lembik, ikut cakap orang dan lambat buat keputusan,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!