AEON sambut tahun harimau dengan koleksi Melinda Looi
SHAH ALAM - Melangkah menuju era endemik Covid-19, AEON Co (M) Bhd (AEON) mengumumkan kolaboratif eksklusif dengan salah seorang pereka fesyen tanah air yang tersohor, Melinda Looi.
Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasarannya, Low Ngai Yuen berkata, sambutan Tahun Baharu Lunar pada tahun ini akan menjadi lebih meriah dengan koleksi #MelRoars yang akan membuatkan pelanggan terpanggil untuk merasai pengalaman gabungan warisan dan fesyen yang terbaik sambil mencipta kenangan bersama.
Menurutnya, koleksi #MelRoars ialah koleksi sedia dipakai yang diilhamkan melalui gaya dan penghormatan tahun harimau dengan tiga jenis corak inspirasi 'panthera tigris' digabungkan dengan pengaruh Peranakan.
“Gabungan itu ialah jalur inspirasi batik eksentrik, corak geometri jubin peranakan yang terserlah dan penjajaran corak bunga klasik halus dengan ekspresi harimau tersembunyi.
"Menyedari bahawa ini akan menjadi sambutan Tahun Baharu Lunar yang tidak dapat dilupakan dalam era Covid-19, kami telah merancang untuk #MelRoars dipadankan dengan sambutan musim terbaik AEON. Peluang bekerjasama dengan Melinda Looi bukanlah satu kebetulan dan beliau merupakan Presiden Persatuan Pereka Rasmi Malaysia (MODA),” katanya dalam satu kenyataan.
Ngai Yuen berkata, didokumentasikan dengan baik untuk reka bentuk avant-garde dan gaya retronya, #MelRoars memberikan musim perayaan ini satu sentuhan warisan tersendiri, juga menggambarkan kebanggaan kami dengan warisan Malaysia," katanya.
Pada Selasa, acara pertunjukan fesyen koleksi #MelRoars telah diadakan dan dirasmikan Ketua Pegawai Operasi AEON, Sunny Setiawan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Optimax Specialist Centre, Sandy Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ioli Communications Sdn Bhd, Yan Lim.
Koleksi #MelRoars boleh didapati di 11 cawangan AEON di seluruh Malaysia di Taman Maluri, Bandar Utama, Mid Valley, Bandar Puchong, Metro Prima, Seremban 2, Tebrau City, Cheras Selatan, Queensbay, Bukit Tinggi dan Bandaraya Melaka, serta dalam talian di AEON Lifestyle.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!