Dua rakan maut dilanggar lari
KOTA BHARU - Dua rakan maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 13 Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, awal pagi Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, mangsa seorang lelaki berusia 25 tahun manakala pembonceng wanita berusia 36 tahun melambung sejauh 30 meter (m) sebelum terseret di atas jalan menyebabkan keduanya meninggal dunia serta-merta.
"Mangsa dipercayai rakan sekerja. Dalam kejadian jam 12.01 tengah malam itu, mangsa dipercayai dari arah Kota Bharu menghala ke Perol. Sebuah kenderaan dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal dinaiki mangsa," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mohd Suhaimi berkata, kenderaan yang melanggar mangsa dipercayai melarikan diri dan berdasarkan penemuan komponen kenderaan di lokasi kejadian, ia mungkin melibatkan sebuah perodua Myvi berwarna oren.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.
"Kami sedang mengesan pemandu serta kenderaan itu dan sebarang maklumat atau saksi dipohon tampil berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Inspektor Mohd Ikhwan Mamat di talian 013-9638060 untuk membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!