Sukarelawan diperlukan bantu proses lupus al-Quran

Antara sukarelawan yang membantu di Pusat Pelupusan Al-Quran Bukit Sentosa, Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
Antara sukarelawan yang membantu di Pusat Pelupusan Al-Quran Bukit Sentosa, Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
A
A
A

RAWANG - Khidmat sukarelawan diperlukan bagi membantu menyegerakan proses pelupusan al-Quran di Pusat Pelupusan Al-Quran Bukit Sentosa, Bukit Beruntung di sini.

Setiausaha Dewan Dakwah, Majlis Dakwah Negara, Noralizatul Azua Rusli berkata, sebanyak 200 tan al-Quran yang rosak susulan banjir pada Disember lalu dihantar ke pusat tersebut sejak minggu lepas.

Menurutnya, perkembangan terkini kerja-kerja melupuskan al-Quran baru mencapai 10 peratus dan masih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan kitab tersebut dilupus dengan cara betul.

“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengumpulkan al-Quran ini sebelum dihantar ke beberapa pusat lupus al-Quran termasuk di Bukit Beruntung.

“Al-Quran yang dihantar di sini terlalu banyak. Kalau boleh saya minta lebih ramai sukarelawan turun untuk bantu.

“Buat masa ini tidak ramai pekerja melainkan jika ada bantuan daripada pihak luar selain penduduk sekitar,” katanya di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Proses mengeringkan al-Quran sebelum dibakar.
Proses mengeringkan al-Quran sebelum dibakar.

Jelasnya, al-Quran tersebut perlu diasingkan terlebih dahulu kemudian dijemur dan selepas kering barulah kitab tersebut dibakar.

“Pengasingan kitab mengambil masa lama kerana ada yang bercampur dengan sampah selain proses menjemurnya juga memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Saya juga hanya sukarelawan di sini. Masih banyak kerja perlu dilakukan dan tidak cukup sehari untuk selesaikan semua urusan,” katanya.

Noralizatul Azua berkata, orang ramai yang berminat untuk membantu boleh menghubunginya di talian 017-2349960.

“Kalau boleh kita harap setiap hari ada yang datang membantu. Kita perlukan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 orang sehari secara berterusan sehingga kerja selesai.

“Biar ada penggiliran supaya sentiasa ada orang bantu selain mengelak orang berkumpul memandangkan masih dalam suasana pandemik Covid-19,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!