PDRM perlu helikopter, bot baharu
SEGAMAT - Aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) antaranya helikopter dan bot perlu diganti kerana kini dilihat tidak sesuai lagi digunakan terutama dalam keadaan banjir pada setiap tahun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, aset tersebut sudah lama, malah tidak sesuai dengan keadaan masa kini dan masalah itu disedari semasa terlibat dalam operasi membantu mangsa banjir baru-baru ini.
Menurutnya, keadaan itu memberi pengajaran kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggantikannya lebih-lebih lagi helikopter PDRM sendiri telah berusia 25 tahun yang tidak dilengkapi teknologi terkini.
"Aset lama seperti helikopter sebagai contoh adalah aset yang kita rasa bahaya apabila berlaku ribut petir dan hujan lebat kerana ia tidak mempunyai kelengkapan yang boleh bersedia dalam keadaan banjir atau bencana seperti ini.
"Banyak aset PDRM apabila dalam keadaan nak membantu, baru kita sedar. Contohnya bot yang kita guna selama ini telah lama kita perolehi," katanya selepas meninjau keadaan banjir di daerah ini pada Jumaat.
Hamzah sebelum itu melawat Galeri Darurat Bukit Kepong di Pagoh, Muar sebelum mendengar sesi taklimat berkaitan keadaan terkini bencana itu di daerah ini di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat.
Turut hadir ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Segamat, Superintendan Bahrin Noh.
Hamzah sehubungan itu berkata, pihaknya ada berbincang dengan Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha KDN untuk mencari bot yang lebih sesuai digunakan pada masa banjir atau bencana yang akan datang.
Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RMM250,000 untuk membaik pulih Galeri Darurat Bukit Kepong yang dinaiki air sehingga paras 2.5 meter semasa banjir baru-baru ini.
"Atas sifat prihatin KDN, saya telah bersetuju memberikan bantuan kewangan untuk baik pulih kawasan galeri bersejarah tersebut meskipun semua artifak dapat diselamatkan.
"Walaupun kita sudah reka bentuk galeri tersebut lebih tinggi selepas mengambil kira bencana besar pada tahun 2011, namun kita perlu melihat keperluan menghadapi bencana ini pada masa akan datang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!