PHEB mohon MKN semak semula SOP Thaipusam
GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB) akan memohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyemak semula beberapa prosedur operasi standard (SOP) perayaan Thaipusam yang diumumkan pada Rabu.
Pengerusinya, P Ramasamy berkata, satu surat akan diserahkan menerusi faks kepada MKN pada Jumaat berikutan masa semakin suntuk untuk penganut dan pihak kuil membuat persiapan.
Beliau berkata, PHEB akan meminta kelonggaran terhadap empat perkara yang ditetapkan dalam SOP Thaipusam pada tahun ini, antaranya jumlah penganut yang mengiringi pedati.
"Kita mempunyai cadangan terhadap empat perkara yang terkandung di dalam SOP MKN yang diumumkan baru-baru ini.
"Empat perkara itu adalah had usia mereka yang boleh hadir ke perayaan ini, jumlah pengiring pedati, jumlah penganut yang boleh berada di kawasan kuil sehingga ke kuil Puncak Bukit (Hilltop Temple) dan masa operasi kuil ketika perayaan," katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai cadangan berkenaan, Ramasamy berkata, pihaknya memohon agar MKN membenarkan penganut berusia di bawah 18 tahun dibenarkan masuk ke kuil kerana mereka diiringi oleh ibu bapa yang sudah divaksin.
"Bagi jumlah pengiring pedati pula, MKN menetapkan hanya 100 orang namun kita memohon agar ia dinaikkan menjadi 500 orang. Selain itu, kita juga meminta agar masa operasi kuil dilanjutkan iaitu dari 5 pagi 17 Januari hingga 11 malam pada 18 Januari.
"Cadangan seterusnya adalah jumlah penganut yang boleh berada di kawasan kuil sehingga ke kuil Puncak Bukit (Hilltop Temple) yang mana MKN menetapkan hanya 250 orang dibenarkan dalam satu masa.
"Kita akan memohon agar 3,000 orang dibenarkan kerana kita akan adakan sistem penggiliran setiap 30 minit," katanya.
Sebelum ini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan SOP sambutan perayaan itu; antaranya menetapkan hanya upacara 'paal koodam' atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang dan perjalanan pedati, dibenarkan pada Thaipusam kali ini.
Upacara 'paal koodam' dibenarkan bermula Jumaat hingga 19 Januari dengan penetapan jumlah kehadiran berbeza mengikut kuil, manakala acara 'kavadi' serta gerai sementara tidak dibenarkan.
Upacara sembahyang secara bersesi dan perjalanan serta pergerakan kereta pedati pula dibenarkan mengikut SOP ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!