Indonesia percepat pembangunan vaksin Merah Putih
JAKARTA - Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan (PMK) Indonesia, Muhadjir Effendy menggesa pihak berkuasa berkaitan mempercepatkan penghasilan vaksin Merah Putih, agar vaksin Covid-19 keluaran tempatan dapat digunakan segera.
ANTARA News melaporkan bahawa kerajaan Indonesia menerusi satu kenyataan akhbar pada Khamis berkata, pembangunan vaksin Merah Putih sedang giat dijalankan oleh Universiti Airlangga dengan kerjasama PT Biotis, PT Bio Farma dengan Kolej Perubatan Baylor, Universiti Indonesia dengan kerjasama PT Etana, Institut Teknologi Bandung, PRBM Eijkman BRIN bersama PT Bio Farma, serta Universiti Padjadjaran selain bekerjasama dengan PT Bio Farma dan Lipotek.
Vaksin Merah Putih yang dibangunkan Universiti Airlangga dengan kerjasama PT Biotis dijangka siap pada awal 2022 dan penghasilan vaksin secara besar-besaran pada pertengahan 2022, katanya.
Effendy pada Rabu menggesa Kementerian Kesihatan menggalakkan penghasilan vaksin Merah Putih secepat mungkin ketika sesi mesyuarat penyelarasan yang membincangkan pengeluaran vaksin domestik.
"Kami menaruh harapan penghasilan vaksin dapat dipercepatkan tanpa menjejaskan kualiti, kejituan dan keberkesanan produk," tegasnya.
Kementerian yakin bahawa vaksin yang dibangunkan pasukan penyelidik boleh digunakan segera bagi menyokong usaha melawan pandemik Covid-19 di Indonesia.
“Sekiranya kita dapat mencapai sasaran maksimum, kita harap penggunaan vaksin buatan tempatan ini dapat menamatkan penularan wabak (Covid-19,” tegasnya.
"Saya memanggilnya husnul khatimah. Kita berbangga dapat menjulang Bendera Merah Putih dengan mengatasi (wabak) menggunakan vaksin yang kita ada," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembangunan vaksin Covid-19 dilaksanakan pihak kerajaan dengan kerjasama industri farmaseutikal, institusi penyelidikan dan universiti.
Kenyataan itu turut menyebut, Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin mengesahkan vaksin Merah Putih primer akan dilancarkan selewat-lewatnya Mac 2022 dan vaksin itu disasarkan untuk kegunaan kanak-kanak pada Jun 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!